Berita

Kampung Baru dibangunkan ikut parcel

ANNUAR ketika menjawab persoalan lisan yang diajukan Dungun.
- Diterbit 3 November 2020 6:46 AM MYT

KERAJAAN terus komited untuk memaju dan membangunkan Kampung Baru, Kuala Lumpur menerusi kaedah pembahagian kepada 40 parcel dan dilakukan secara organik.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, dengan kaedah baharu itu masalah pemilikan tanah dapat dilakukan dengan lebih mudah.

Jelas beliau, sebagai permulaan beberapa parcel tertentu boleh dimulakan pembangunannya mulai tahun hadapan.

“Kaedah itu dipilih selepas usaha terakhir yang dilakukan untuk melaksanakan pelan konsep pembangunan Kampong Bharu 2019 berasaskan kepada pembelian ataupun menawarkan pembelian tanah daripada pemilik dan setelah survey atau kajian dibuat, didapati hanya 61 peratus sahaja yang memberikan respon dalam bentuk yang positif.

“Dan dengan itu, kaedah tersebut tidak dapat diteruskan,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Dungun pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab lanjut, Annuar berkata, pembangunan itu akan dilakukan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu yang mana mereka telah mengambil langkah seterusnya dengan membangunkan pelan induk pembangunan Kampong Bharu yang baharu.

Ujar beliau, untuk memastikan komitmen kerajaan yang berterusan bagi pembangunan ini, kementerian telah melakukan bidaan peruntukan dengan Kementerian Kewangan sebanyak RM1.5 billion dalam Rancangan Malaysia Ke-12 bagi membolehkan usaha-usaha menaiktarafkan kemudahan dan prasarana di Kampung Baru dapat dilaksanakan serta merta. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas