Artikel

Tahniah polis KL, jenayah turun

PIHAK polis sentiasa memastikan ketenteraman awam. - Gambar hiasan
- Diterbit 8 Disember 2023 3:30 AM MYT

INDEKS jenayah di Kuala Lumpur dilaporkan menurun bagi tempoh 10 bulan tahun ini, mulai 1 Januari hingga 31 Oktober 2023. Penurunan 10 peratus dicatatkan atau 410 kes berbanding 4,173 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Bagi Adi, ini satu perkembangan yang menggalakkan memandangkan usaha menangani jenayah di ibu kota memang mencabar. Ini sejajar dengan kedudukan Kuala Lumpur sebagai ibu negara yang sering berhadapan dengan pelbagai kes jenayah, daripada yang kecil sehingga kes besar dan rumit.

Sehubungan itu, Adi ucapkan tahniah kepada polis kontinjen yang diketuai oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, semua Ketua Polis Daerah (OCPD) serta semua pegawai dan anggota pangkat rendah yang bekerja keras penuh dedikasi sehingga kadar jenayah berjaya diturunkan.

Memetik Allaudeen pada sidang media baru-baru ini, jenayah kekerasan menurun 14 peratus atau bersamaan 122 kes setakat Oktober berbanding 895 kes bagi tempoh sama tahun lepas. Jenayah harta benda pula mencatat penurunan 288 kes atau sembilan peratus.

Kejayaan polis Kuala Lumpur turut merangkumi kes melibatkan dadah. Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM101 juta dari Januari hingga Oktober berbanding RM122 juta tahun lepas.

Dengan rampasan mengecil ini bermakna polis berjaya mengekang jenayah dadah. Ini sangat positif kerana kita semua tahu dadah adalah musuh utama negara. Kerana itu penjualan, pembelian, pengedaran dan penagihan dadah mesti dibanteras.

Di samping itu, jumlah tangkapan turut bertambah dari Januari hingga September iaitu sebanyak 481 orang. Ini menjadikan jumlah tangkapan meningkat kepada 12,199 orang berbanding 11,718 orang pada 2022.

Bagi pembanterasan jenayah komersial pula, sebanyak 1,439 serbuan dilakukan membabitkan jenayah dalam talian atau online. Sejumlah 83 kertas siasatan dibuka melibatkan tangkapan pusat panggilan seramai 1,023 orang dari Januari hingga Oktober.

Pada masa ini jenayah online begitu berleluasa. Ramai terjebak ke dalam perangkap scammer melibatkan kerugian bukan sedikit. Ada yang berbelas ribu, puluhan ribu, malah sehingga mencecah jutaan ringgit.

Walaupun pelbagai ingatan sudah diberi, masih ramai yang termakan dengan pujuk rayu scammer. Operasi mereka memang licik dan sukar dikesan. Kerana itu kejayaan polis Kuala Lumpur memburu mereka yang terlibat begitu membanggakan.

Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) tidak kurang hebat. Jabatan itu telah membuka 57,437 kes manakala pertuduhan kertas siasatan semasa mencapai 98.75. Bagi Adi peratus ini tinggi, melambangkan kejayaan membawa pesalah trafik ke muka pengadilan.

Yang menarik, bukan sahaja JSPT menyaman dan mendakwa pesalah trafik, ia juga berusaha memastikan kelancaran lalu lintas di ibu negara, terutama pada waktu puncak.

Untuk tujuan itu, 170 pegawai kanan polis dan pegawai rendah polis daripada jabatan berkenaan ditugaskan memantau kesesakan trafik di ibu kota, tanpa mengira waktu dan masa demi keselesaan pengguna jalan raya.

Oleh itu jelas pihak polis bukan sahaja bertugas membanteras jenayah atau menangkap pesalah, tetapi juga memastikan ketenteraman awam sentiasa dijaga. Ini sesuai dengan slogan Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada.

Malah peranan rakyat sebagai ‘mata dan telinga’ sangat dituntut dalam membantu polis melaksanakan tanggungjawab dengan lancar. Kerana itu bagi Adi, polis adalah kawan dan tidak perlu ditakuti selama kita tidak terlibat dengan jenayah atau pelanggaran undang-undang.

Kita perlu sedar keselamatan dan ketenteraman yang dinikmati sebahagian besarnya adalah kerana jasa bakti serta usaha gigih pihak polis yang berkorban masa dan tenaga demi kesejahteraan warga kota. Kerana itu jasa pengorbanan mereka wajar disanjung. Hormati dan sokong tugas mereka.

Adi—Pernah mohon jadi polis

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas