Artikel

Penjaja dominasi parkir sukarkan penghuni PPR, PA

Gambar hiasan. Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 8 Disember 2023 3:40 AM MYT

PETAK parkir atau petak penjaja? Adi bangkitkan isu ini apabila melihat banyak petak parkir di Taman Tasik Titiwangsa, khususnya di jalan utama, dimonopoli oleh penjaja sehingga menyusahkan orang ramai meletak kenderaan.

Awal pagi para penjaja sudah mula mengambil ruang parkir untuk berniaga pelbagai jenis makanan dan minuman. Jumlahnya perlahan-lahan bertambah. Ini berlaku pada hari biasa, sementara pada hujung minggu dan hari cuti jumlahnya lebih ramai.

Ini menyebabkan orang awam yang datang untuk bersantai dan beriadah di taman tasik berkenaan menghadapi masalah meletak kenderaan, terpaksa berpusing-pusing jauh. Itu pun belum tentu ada ruang kosong di tempat lain.

Adi pun tidak pasti adakah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan penjaja mengambil alih petak parkir untuk berniaga? Atau adakah para penjaja itu sendiri yang suka hati menceroboh petak parkir?

Pihak DBKL wajar memberi perhatian serius mengenai perkara ini. Jika tidak boleh berniaga di petak parkir, maka buatlah sesuatu untuk mengatasinya. Jika terus dibiarkan, penjaja akan merasa apa yang mereka lakukan tidak salah.

Kehadiran ramai penjaja menyebabkan kawasan sekitar tidak bersih. Ini kerana ada di antara peniaga tidak menjaga kebersihan. Selalu diperhatikan sampah-sampah dibuang di persekitaran sehingga mencemarkan kawasan sekeliling.

Ramai pula di antara pelanggan yang tidak bertanggungjawab membuang bekas makanan atau minuman merata-rata sehingga mengotorkan kawasan taman tasik yang indah. Cawan minuman plastik dan bekas makanan dibuang di tempat pejalan kaki.

Ini memberi gambaran tidak baik mengenai aspek kebersihan sedangkan kebersihan itu yang hendak diterapkan di ibu kota. Ini sesuai dengan slogan ‘Kuala Lumpur Bersih dan Indah’. Bukan semua membuang sampah sesuka hati, tetapi sikap segelintir mereka sudah cukup mengotorkan sekeliling.

Mungkin juga para peniaga memberi alasan tiada ruang untuk berniaga jika tidak mengambil petak parkir. Dalam hal ini, Adi harap DBKL mencari jalan penyelesaian. Sediakan lokasi khas yang tidak mengganggu kemudahan parkir awam.

Adi lihat ada penjaja yang menjual makanan di kawasan Taman Tasik Titiwangsa tidak mengganggu petak parkir. Mereka berniaga di lokasi lain di tepi jalan. Tetap sahaja ada orang membeli.
Mungkin juga berniaga di tepi jalan utama tidak boleh, tetapi sekurang-kurangnya tidak mengganggu parkir.

Selain penjaja, kawasan parkir juga turut diambil alih oleh pengendali basikal sewa. Mereka juga menguasai banyak petak parkir meletakkan basikal sewa. Lagi banyak basikal, lagi besar petak parkir yang diambil.

Bagi Adi, tidak ada masalah jika hendak berniaga atau menyewakan basikal untuk mencari rezeki.

Adi—Riadah keliling rumah

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas