Berita

Universiti Malaya edar 1,300 pek bubur lambuk

PRESIDEN PEKERTI, Dr Chen (dua kanan) semasa mengagihkan bubur lambuk kepada anak-anak Tadika Universiti Malaya.
- Diterbit 26 April 2022 3:30 AM MYT

SEJUMLAH 1,300 pek bubur lambuk diagihkan kepada warga Universiti Malaya (UM) dan masyarakat setempat menerusi Program Bubur Lambuk Ihya’ Ramadan pada 12 April lalu.

Menurut Presiden Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas Universiti Malaya (PEKERTI), Dr Chen Chee Dhang sebanyak lima kawah bubur lambuk yang mempunyai tiga perisa iaitu ayam, daging dan juga sayur telah dimasak sebelum diberikan secara percuma kepada penduduk sekitar.

DR Chen terlibat dalam proses penyediaan bahan masak bubur lambuk.

“Program yang bermula pukul 7.30 pagi ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial pihak UM kepada masyarakat di samping memupuk jalinan kerjasama dan mengeratkan silaturahim di antara staf dan masyarakat pelbagai bangsa.

“Bubur lambuk tersebut telah diagihkan kepada staf daripada pelbagai kategori jawatan iaitu ahli PEKERTI, staf pelaksana, anak-anak Tadika UM, Anak Yatim Pusat Jagaan Kasih Harapan Kota Damansara, pesakit dan staf di Wad Kecemasan PPUM serta Jemaah Surau Inderaloka Pantai Dalam sehingga pukul 4.30 petang,” katanya.

PEGAWAI-PEGAWAI sedang membuat pengagihan bubur lambuk.

Dalam pada itu, Chen berkata sambutan daripada staf UM dan masyarakat setempat terhadap Program Bubur Lambuk Ihya’ Ramadan yang diadakan begitu memberangsangkan malah ia turut disokong warga masyarakat bukan Islam.

“Saya berasa sangat bertuah dan terharu kerana dapat merasai pengalaman sebegini walaupun kita berlainan agama dan bangsa. Rakan-rakan daripada pelbagai latar belakang turut bersama-sama membantu secara tidak langsung ia dapat meningkatkan produktiviti kerja,” katanya yang pertama kali terlibat dalam menjayakan program bubur lambuk sempena bulan Ramadan ini.

Tambahnya, program yang mendapat tajaan ikhlas daripada pegawai dan ahli PEKERTI itu melibatkan seramai 35 orang sukarelawan yang terdiri daripada pegawai-pegawai dalam pelbagai skim perkhidmatan, antaranya Pegawai Penyelidik, Penolong Pendaftar, Pegawai Sukan, Pegawai Teknologi Maklumat, Pegawai Kewangan, jurutera dan lain-lain.

ANTARA sukarelawan yang terlibat dalam Program Bubur Lambuk Ihya’ Ramadhan.

Chen turut berharap program sebegini dapat dijadikan amalan setiap tahun di samping menyemarak konsep ‘Kebajikan Tanggungjawab Bersama’ yang diamalkan oleh warga UM. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas