Berita

TDM terima peralatan sokongan untuk Op Murni RM100,000

PANGLIMA 8 Briged, Brigedier Jen Datuk Aizuddin Hassan menunjukkan aset yang digunakan pada Ops Murni pada Acara Perbarisan 'First Responder Ops MURNI 8 Briged di Markas 8 Briged Kem, Pengkalan Chepa hari ini. Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 18 Disember 2023 11:30 PM MYT

TENTERA Darat Malaysia (TDM) selaku peneraju Operasi Murni (Op Murni) hari ini menerima sumbangan berjumlah RM100,000 daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi perolehan peralatan sokongan untuk digunakan semasa operasi dan fasa pasca banjir.

Kementerian Pertahanan (MINDEF), dalam kenyataan, memaklumkan antara aset semasa yang telah dilaksanakan perolehannya adalah seperti pelampung dewasa, jaket keselamatan kanak-kanak, payung dan beberapa keperluan lain.

Aset pascabanjir pula adalah barangan bagi keperluan pembersihan seperti shavel, rubber boot dan berus dan lain-lain.

Pada Mac lalu lalu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga telah menerima perolehan kelengkapan mobiliti operasi bencana bagi pengoperasian Humanitarian Assistance and Disaster Relief bernilai RM9.97 juta.

“Antara aset yang diterima adalah seperti Rubber Inflatable Boat, Complete with Outboat Motor 40HP, Assault Boat Aluminium “Vee” bottom Complete with OBM 60HP, Trailer Boat, HADR Boat Carrier dan Trak satu tan 4 x 4 – Fitted for Radio,” menurut kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan, sehingga kini seramai 995 pegawai dan 16,094 anggota lain-lain pangkat daripada tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di seluruh negara bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan.

Kementerian Pertahanan berkata antara kawasan yang kini menerima taburan hujan yang tinggi dan sedang mengalami banjir adalah di negeri Kelantan, Terengganu, Selangor dan Perak.

Sehubungan itu, katanya, ATM kini sedang dan telah mengatur gerak pasukan bantuan termasuk bantuan menyelamat dan memindah mangsa banjir ke Pusat Penempatan Sementara (PPS).

“Pada masa yang sama, Kementerian Pertahanan turut mengatur gerak Forward Medical Team bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) di dalam pemeriksaan kesihatan,” maklum kenyataan itu.

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerima taklimat Op Murni daripada peneraju operasi iaitu Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan yang turut dihadiri oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas