Berita

Bernama anjur pameran seni kreatif sempena hari autism

- Diterbit 2 April 2021 12:48 AM MYT

HARI ini masyarakat antarabangsa menyambut Hari Kesedaran Autisme Sedunia yang merupakan ruang terbaik bagi orang awam untuk memahami golongan tersebut secara lebih dekat.

Pelbagai program sama ada berbentuk pameran atau kempen diatur oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan berkaitan autisme untuk meningkatkan kesedaran dan keprihatinan masyarakat terhadap golongan ini.

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) juga tidak ketinggalan dalam kempen kesedaran ini dengan menganjurkan Pameran Seni Kreatif Bernama sempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia yang akan dirasmikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun, pagi ini.

Pengerusi Bernama Senator Datuk Ras Adiba Radzi juga dijadual hadir pada program yang diadakan di Wisma Bernama.

Gangguan Spektrum Autisme (ASD) atau autisme adalah gangguan perkembangan saraf pada seseorang yang boleh menyebabkan kesukaran untuk berkomunikasi, menjalani interaksi sosial dan berdepan dengan masalah tingkah laku.

Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat merekodkan setakat Februari lepas, seramai 28,941 individu autisme di negara ini, telah berdaftar dengan jabatan itu.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), seorang daripada 160 kanak-kanak di dunia mengalami autisme dan golongan ini sering berdepan stigma dan diskriminasi dalam kalangan masyarakat.

Antara stigma yang sering dikaitkan dengan golongan ini adalah masalah tingkah laku seperti mudah mengamuk dan sukar mendengar arahan.

Diskriminasi lain termasuk golongan ini dikatakan sukar untuk berdikari atau mendapatkan pekerjaan walaupun mereka mampu bekerja dengan baik. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas