Berita

Warga emas cabar diri kembali bertilawah

ABD RASHID (dua dari kanan) bersama peserta tilawah al-Quran Persatuan Warga Emas Putrajaya. ABD RASHID (dua dari kanan) bersama peserta tilawah al-Quran Persatuan Warga Emas Putrajaya.
- Diterbit 1 April 2021 8:26 AM MYT

MINAT sejak kecil dalam bidang tilawah al-Quran, qari dan qariah dinobatkan juara dalam Majlis Tilawah Al-Quran La21 Putrajaya yang diadakan di Dewan Melati, Putrajaya pagi tadi.

Berbekalkan pengalaman sejak kecil, kedua-dua mereka berjaya mempersiapkan diri meskipun sudah bertahun-tahun tidak memasuki mana-mana pertandingan tilawah.

HASNAH ARSHAD

Hasnah Arshad, 73, atau lebih mesra dipanggil maksu mempunyai minat dalam mempelajari al-Quran sejak berusia 6 tahun dan terpaksa ‘curi-curi’ belajar al-Quran tanpa pengetahuan kedua ibu bapanya.

“Dulu maksu tidak sekolah sebab ayah tidak bagi. Mujur waktu itu ada seorang imam yang mendorong maksu belajar al-Quran di sebuah sekolah pondok di Kedah.

“Maksu kali pertama dapat johan dalam pertandingan di Perlis dahulu dan waktu itu umur maksu bawah 10 tahun lagi. Selepas itu maksu mewakili daerah Kodiang sampai Jitra,Kedah,” ujarnya apabila ditanya mengenai pengalamannya.

Namun, beliau terpaksa melupakan minatnya untuk seketika di usia 16 tahun selepas berkahwin demi menjaga anaknya.

Oleh sebab itu, Hasnah meletakkan azam untuk mendidik anak serta cucunya menjadi hafiz dan hafizah.

ABD RASHID

Mempunyai minat yang sama, Abdul Rashid Mahmud,67, mula menceburi musabaqah sejak kecil dan aktif mewakili sekolah di dalam pertandingan tilawah.

“Saya memang dari sekolah pernah masuk musabaqah sehingga peringkat daerah namun selepas itu saya sudah tidak aktif lagi.

“Cuma sekarang saya aktif sebagai guru tajwid, guru al-Quran di mana saya banyak mengajar di Putrajaya kebanyakkannya di surau-surau dan pejabat tapi dari segi berlagu itu memang sudah lama saya tinggalkan,” jelas Rashid.

Menurut Rashid, beliau menghadapi sedikit kesukaran pada pertandingan kali ini dan khuatir mengenai keadaan suaranya kerana sudah lama meninggalkan bidang ini dan tidak menyangka akan memasuki pertandingan tilawah semula.

Majlis Tilawah Al-Quran La21 Putrajaya adalah majlis bersama Persatuan Warga Emas Putrajaya (PERWEP) yang dihadiri Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Penasihat PerWEP, Datuk Zainul Ayob; Yang diPertua PerWEP, Roslan Abu Hanif dan Timbalan Yang diPertua PerWEP, Kamarun Zaman Ab Rahman.  WILAYAHKU- NUR DIANA SYUHADA MOHD AMIR

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas

BERITA SEMASA