Berita

SUKMA 2022: WP layak ke suku akhir bola sepak

ADAM Mukriz (depan) meraikan jaringannya ketika aksi terakhir peringkat kumpulan di Stadium UKM, Bangi, petang tadi.
- Diterbit 16 September 2022 1:19 PM MYT

PASUKAN Wilayah Persekutuan dan Selangor menamatkan saingan peringkat Kumpulan A dengan kedudukan seri 1-1.

Permainan bermula dengan penuh bertenaga dari kedua-dua pasukan namun terpaksa diberhentikan selama 10 minit akibat hujan.

Wilayah Persekutuan terlebih dahulu berada di hadapan apabila pemain jersi 17, Muhammad Adam Mukriz Syamsul Ariffin berjaya menjaringkan gol sejurus perlawanan disambung.

Permainan terpaksa dihentikan kali kedua selama 10 minit akibat hujan lebat serta guruh. Namun, ia tidak mengganggu rentak permainan Selangor apabila pemain jersi 16, Muhammad Adim Muzahhir Saipu Azlan menjaringkan gol sekali gus menyamakan kedudukan 1-1 sebelum tamat separuh masa pertama.

Di babak kedua, walaupun kedua-dua pasukan melakukan beberapa pertukaran pemain, namun kedudukan kekal sehingga ke wisel penamat.

Pengendali skuad bola sepak Wilayah Persekutuan, Zolkipli Samion berpuas hati dengan permainan yang ditunjukkan anak buahnya dan mahu pemain mengekalkan momentum serta persembahan yang baik di suku akhir nanti.

“Untuk hari ini kedua-dua kumpulan menunjukkan permainan yang baik.

“Diharapkan momentum seperti ini dapat diteruskan dan lebih lagi apabila berhadapan dengan pihak lawan di suku akhir nanti. Di suku akhir kita hanya mahu lakukan yang terbaik,” katanya sewaktu ditemui Wilayahku sejurus permainan tamat.

Dengan keputusan itu, Selangor menjadi juara kumpulan A dengan pungutan tujuh mata manakala Wilayah Persekutuan berada di tangga kedua kumpulan bagi acara Bola Sepak SUKMA 2022. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas