Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Sumbangan khas tampung perbelanjaan bakal jemaah haji

- Diterbit 24 Mei 2024 3:40 PM MYT

REZEKI buat 579 jemaah haji yang juga warga Putrajaya apabila menerima sumbangan berjumlah RM500 seorang pada Majlis Penyampaian Sumbangan Khas Haji Muasassah Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya Tahun 2024/1445H baru-baru ini.

Salah seorang penerima, Siti Azzah Abdul Razak, 49, bersyukur menerima bantuan tersebut dan menyifatkan sebagai rezeki menunaikan rukun Islam kelima.

“Kita tak tahu mungkin ada bayaran tambahan yang akan dikenakan di sana nanti jadi wang ini la yang akan digunakan semasa di tanah suci termasuk kos makan, minum dan lain-lain.

“Terima kasih kepada pihak yang memberi sumbangan kerana sedikit sebanyak dapat meringankan perjalanan bakal jemaah. Semoga program ini diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya yang juga merupakan Pegawai Penilaian Perbadanan Putrajaya (PPj).

Berkongsi detik menerima panggilan haji, Siti Azzah berkata dia seakan tidak percaya pada mulanya namun gembira kerana dapat pergi bersama-sama rakannya.

“Saya memang ada buat permohonan bersama rakan dan pada mulanya dia yang beritahu telah mendapat surat tawaran. Kebetulan pada masa itu saya di Makkah menunaikan umrah dan apabila semak saya juga dapat surat tawaran tersebut.

“Alhamdulillah macam tak percaya dan sangat seronok. Perasaan risau memang ada tapi apa pun kita kena sentiasa berfikiran positif,” katanya yang akan berlepas pada 25 Mei ini.

Sementara itu, perasaan pertama kali sebagai Dhuyufurrahman membuatkan Hasanah Malek, 64, terharu diraikan orang sekeliling.

“Begini la perasaan menjadi tetamu Allah, mulianya Allah kepada jemputan Dia dan orang sekeliling juga meraikannya. Itulah kebesaran Allah,” ujarnya.

Bakal bertolak pada 6 Jun ini, Hasanah berkata persiapan awal telah dilakukan dengan rapi bagi mengelakkan sebarang kesulitan ketika berada di Makkah.

“Pemeriksaan kesihatan sudah dibuat dan alhamdulillah semua berjalan lancar, barang keperluan lain juga telah dibeli.

“Apabila mendapat surat tawaran, Tabung Haji ada buat kumpulan WhatsApp untuk para bakal jemaah haji dan di situ juga terdapat mereka yang sudah berpengalaman berkongsi ilmu. Ia sangat membantu kami yang baru pertama kali menjejakkan kaki di sana,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Hasanah berkata Sumbangan Khas Haji Muasassah dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh bakal jemaah haji.

“Mungkin wang ini akan digunakan untuk bersedekah atau menampung perbelanjaan makan ketika berada di sana,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hasanah berharap agar semua jemaah mendapat haji yang mabrur dan buat mereka yang belum dijemput bakal menjadi tetamu Allah pada suatu hari nanti.

Terdahulu, buat julung kalinya Jabatan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama PPj mengadakan Majlis Penyampaian Sumbangan Khas Haji Muasassah Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya Tahun 2024/1445H.

Program yang disempurnakn oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa itu menyantuni seramai 2,204 penerima dari ketiga-tiga Wilayah Persekutuan dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.102 juta. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas