Berita

Sudah boleh main golf, badminton dan kayuh basikal

PEMINAT aktiviti mengayuh basikal seperti Megat Ramli boleh memulakan hobinya itu mulai 4 Mei ini.
- Diterbit 1 Mei 2020 6:16 AM MYT

PUTRAJAYA –  Tan Sri Muhyiddin berkata, melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai Isnin ini, orang ramai  diberi kelonggaran untuk menjalankan aktiviti riadah yang tidak melibatkan perhimpunan seperti bermain badminton, golf dan mengayuh basikal.

Perdana Menteri berkata, aktiviti sukan luar yang tidak melibatkan sentuhan badan dan perhimpunan ramai dibenarkan.

“Jadi, saudara-saudari boleh bermain badminton atau tenis di luar tanpa penonton. Joging, kayuhan basikal, golf dan larian dalam kumpulan kecil tidak melebihi 10 orang juga dibenarkan dengan syarat anda mengamalkan penjarakan sosial dan elakkan sentuhan badan,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja  1 Mei hari ini.

Perdana Menteri berkata, aktiviti-aktiviti sukan melibatkan perhimpunan ramai, sentuhan badan dan lain-lain risiko jangkitan tidak dibenarkan.

“Ini termasuk sukan bola sepak, ragbi, renang dan semua acara sukan indoor dan stadium,” katanya.

Kata Perdana Menteri, majlis-majlis sosial, kemasyarakatan dan kebudayaan melibatkan perhimpunan ramai seperti kenduri, rumah terbuka, majlis berbuka puasa beramai-ramai, konsert, persembahan kebudayaan, perhimpunan bulanan jabatan kerajaan dan swasta serta semua bentuk majlis perasmian dan perhimpunan adalah tidak dibenarkan.  – WILAYAHKU   

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas