Berita

Perjalanan rentas negeri dilarang, tak boleh balik kampung sambut Aidilfitri

WARGO kota tidak dibenarkan keluar sempadan negeri untuk pulang ke kampung. Gambar hiasan
- Diterbit 1 Mei 2020 6:32 AM MYT

PUTRAJAYA  –  Kerajaan melarang sebarang perjalanan rentas sempadan negeri untuk balik ke kampung semasa cuti perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perjalanan rentas negeri hanya akan dibenarkan untuk tujuan hadir bekerja dan pulang semula ke rumah setelah terkandas di kampung atau di tempat-tempat lain.

“Perjalanan rentas negeri untuk balik ke kampung semasa cuti perayaan Aidilfitri tidak dibenarkan.

“Buat masa ini, semua sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi masih belum dibuka,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja 1 Mei hari ini.

Perdana Menteri memberitahu, aktiviti kegamaan seperti perarakan keagamaan, solat Jumaat dan semua aktiviti berjemaah atau berhimpun di masjid, surau dan rumah-rumah ibadat juga tidak dibenarkan.

Beliau berkata, senarai lengkap perniagaan atau aktiviti yang tidak dibenarkan boleh dirujuk di laman web Majlis Keselamatan Negara.

“Senarai ini akan disemak dari masa ke semasa bergantung kepada perkembangan keskes jangkitan Covid-19,” katanya.

Selain daripada senarai yang tidak dibenarkan, kata Muhyiddin, semua sektor perniagaan dan industri, sektor awam dan sektor sosial adalah dibenarkan untuk beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan peraturan semasa serta SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“SOP ini termasuk penjarakan sosial, kerap mencuci tangan, memakai topeng muka, melaporkan segera kepada Jabatan Kesihatan jika terdapat maklumat mengenai jangkitan Covid-19, keutamaan melindungi kumpulan berisiko seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan OKU, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan, bilangan penumpang dalam kenderaan awam perlu mengambil kira penjarakan sosial dan menggalakkan transaksi secara online,” katanya.  – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas