Berita

SOP pelanggan dine in disambut baik

RITHUAN (tiga dari kanan), Hafiez (dua dari kanan) bersama Ketua Polis Labuan Ahmad
- Diterbit 22 Ogos 2021 3:00 AM MYT

KIRA-KIRA 100 premis makanan dan minuman di Pulau Bebas Cukai ini menyambut baik saranan kerajaan dalam melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) hanya pengunjung lengkap dua dos vaksin COVID-19 memasuki premis mereka.

Menurut Pengerusi Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Labuan Rithuan Mohd Ismail, pelaksanaan SOP itu adalah selari dengan saranan kerajaan dalam memberikan kelonggaran kepada individu yang telah lengkap dua dos vaksin COVID-19.

Rithuan berkata, ia mendapat respon yang baik daripada pemilik dan peniaga premis makanan dan minuman untuk melaksanakan SOP tersebut bagi memastikan keselamatan mereka.

“Kita (JPBD) mendapat kerjasama dari peniaga (pemilik premis) dalam memastikan SOP dine in dipatuhi dan ini selari dengan usaha kita untuk memastikan Labuan sebagai zon hijau COVID-19.

“Sepertimana yang kita tahu Wilayah Persekutuan Labuan merupakan wilayah pertama yang telah mencapai 80 peratus imuniti kelompok dan kita perlu memastikan momentum ini diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di beberapa buah premis makanan di sekitar Labuan, pada Khamis lalu.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Ahmad Jawila, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Dzulfaizal Ab Manan.

Sementara itu, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan Hafiez Daud berkata, pihaknya menyarankan setiap premis menugaskan seorang pekerja untuk melakukan pemeriksaan sijil digital vaksinasi COVID-19 terhadap pelanggan yang memasuki premis mereka.

“Kami percaya semua restoran di pulau ini bersedia untuk memeriksa status vaksinasi pengunjung, sebelum mereka masuk untuk makan dine-in.

“Peniaga mempunyai hak untuk tidak membenarkan mana-mana individu yang tidak memberikan kerjasama dan gagal menunjukkan sijil vaksinasi digital COVID-19 untuk dine in didalam premis,” katanya lagi. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas