Atlet Wilayah

Atlet berbasikal pernah hilang ingatan akibat sukan ekstrim

- Diterbit 22 Ogos 2021 6:45 AM MYT

HAMPIR lima tahun aktif dalam sukan berbasikal bukit, atlet Wilayah Persekutuan, Muhammad Aidil Taufed Afendi, 22, beruntung kerana terpilih menyertai kelab berbasikal Singapura, Burgeon MTB Racing Team.

Melalui kelab tersebut, dia berpeluang menyertai pelbagai kejohanan di serata dunia antaranya Jepun, Filipina dan Brunei sekaligus berpeluang menimba banyak pengalaman berharga.

Ujar atlet sukan ekstrim ini, peluang yang diperoleh tersebut digunakan sebaik-baiknya untuk mencapai cita-citanya bergelar atlet berbasikal profesional dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Alhamdulillah perjalanan ke arah itu dipermudahkan namun perlu usaha yang lebih keras la Saya tidak mahu ia terhenti begitu sahaja kerana sukan ini merupakan masa hadapan saya,” ujarnya yang bercita-cita tinggi untuk menyertai Piala Dunia.

Berpeluang menjelajah serata dunia, Aidil teruja setiap kali ingin menyertai kejohanan sehinggakan dia sanggup menghabiskan masa sehari suntuk menjalani latihan berbasikal.

“Jika kejohanan tersebut melalui kelab, saya akan ke Singapura untuk berlatih dan jika anjuran Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) saya akan berlatih di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur sahaja,” katanya.

Mengakui banyak cabaran yang perlu dilalui dalam sukan yang amat mementingkan stamina ini, dia bagaimanapun pernah mengalami kecederaan serius sehingga hilang ingatan seketika apabila kepalanya terhempas.

“Ketika itu saya menyertai Kejohanan MPAJ Texas XCO Race di Bukit Indah Ampang pada tahun 2017. Mujurlah selepas dua jam ingatan kembali pulih biarpun tubuh teruk cedera. Lebih dua minggu saya terpaksa berehat daripada berbasikal,” ceritanya.

Menganggap apa yang berlaku sebagai cabaran yang menguji kekuatan fizikal dan mentalnya, Aidil bagaimanapun tidak pernah serik untuk mencabar dirinya menjadi lebih berani pada masa hadapan.

“Kalau dah minat, apapun cabaran yang datang pasti kita tempuh dengan hati terbuka. Lagi pula sukan seperti ini amat popular dalam kalangan orang muda kerana ia dapat mencabar hormone adrenalin,” ujarnya lagi.– WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas