Berita

4 KARYA SEMANGAT PAHLAWAN

||||
- Diterbit 22 Ogos 2021 2:00 AM MYT

SALAM Merdeka buat pembaca Wilayahku. Meskipun masih berada di dalam pandemik namun semangat untuk menyambut kemerdekaan yang ke-64 masih tidak luntur dalam kalangan rakyat Malaysia apabila bendera Jalur Gemilang sudah mula dikibarkan di
halaman rumah masing-masing.

Karya genre biopik dan sejarah berkaitan patriotik dan semangat kemerdekaan bukan perkara baru dalam industri perfileman tempatan. Malah pengisian filem patriotik tidak hanya berkisarkan tentang peperangan, malah semangat juang juga turut diangkat.

Edisi kali ini Wilayahku akan kongsikan empat filem semangat pahlawan yang menarik untuk ditonton hujung minggu ini.

#1 Pulang

Pengarah: Khabir Bhatia
Pelakon: Remy Ishak, Puteri Aishah, Datuk Jalaluddin Hassan

FILEM Pulang berlatar belakangkan tahun 1940-an, tentang seorang kelasi kapal, Othman yang nekad mengubah nasib keluarganya dengan mengikuti pengembaraan belayar ke merata dunia. Sebelum berlayar, dia berjanji akan pulang bersama kekayaan untuk isterinya Che Thom dan anak lelakinya, Omar. Dengan penuh kesabaran, isterinya akur dengan kepergiannya dan setia menunggu kepulangan suaminya selama 61 tahun. Pulang secara zahir mungkin berkisahkan kisah benar cinta antara Othman dan Che Thom yang terpisah selama 60 tahun turut memasukkan elemen perjuangan kemerdekaan, babak aksi penjajahan Jepun di Tanah Melayu dan usaha untuk mengubah kehidupan agar lebih selesa cukup kuat menjadikan ia naskhah patriotik terbaru yang boleh dilayan pada hujung minggu ini.

#2 Legasi VAT 69

Pengarah: Zaili Sulan
Pelakon: Syafie Naswip, Along Eyzendy, Adam Shahz

MENGISAHKAN tentang semangat kepahlawanan lima anak muda kampung yang mempunyai keperibadian yang tinggi serta amat berbeza yang bernama Hamzah Hashim, Apot a/k Saad, Zabri Abd Hamid, Hasyim Jaabar dan Ahmad WT. Mereka berlima kemudiannya telah menyahut cabaran untuk menyertai unit baharu dalam pertahanan negara pada tahun 1969 yang dikenali dengan nama VAT 69. Untuk menyertai unit elit tersebut, mereka dikehendaki melalui satu sesi pemilihan yang amat getir. Dalam setiap episod siarannya, rancangan ini akan memaparkan kesungguhan anak-anak muda ini meninggalkan keluarga di kampung demi hasrat untuk berbakti untuk negara.

#3 Lalang

Pengarah: Hisyamudin Ahmad
Pelakon: Syazwan Zulkifli, Qi Razali

MENGANGKAT latar era penaklukan Jepun di Tanah Melayu yang berlaku sekitar tahun 1942. Mengisahkan Embong (Syazwan Zulkifli) dan Ah Heng (Lenny Ooi) cuba mengelak diri mereka dari dipergunakan. Mereka tidak sanggup menjadi lalang yang terpaksa mengikut arah. Dalam masa sama, Embong terpaksa berdepan dengan permusuhan ditimbulkan oleh Salleh (Hushairi Husain) yang menjadi tali barut Jepun. Salleh memang menyimpan dendam lama terhadap Embong kerana menganggap Embong merampas kekasihnya, Rohani. Ketika tinggal di pondok, Ah Yee teringin bermain layang-layang dengan menggunakan surat khabar Cina tetapi Sue Lan bimbang akan dilihat oleh penduduk setempat dan mereka akan tahu ada keluarga Cina yang menyorok dalam penempatan orang Melayu. Malangnya ketika Ah Yee bermain layang-layang, dia telah ditembak oleh Ah Chai yang menyangka Ah Yee anak orang Melayu kerana dendam dan marahnya terhadap orang Melayu yang sanggup menjadi tali barut Jepun. Apa kesudahan cerita Lalang ini?

#4 Kapsul

Pengarah: Martias Mohd Ali (Allahyarham)
Pelakon: Faizal Hussein, Zamarul Hisham

SEBUAH kapsul masa Wawasan 2020 yang ditanam oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad telah dicuri dan membawa Zohri (Faizal Hussein) kembali ke zaman silam termasuk menyelami jiwa seorang pejuang ketika askar Melayu berperang dengan Jepun di Kuala Kangsar pada tahun 1942. Zohri kini terperangkap di tengah pergolakan bangsa Melayu untuk mencapai kemerdekaan serta membawa bangsa Melayu keluar dari kancah kemiskinan. Zohri melihat dan merasa sendiri akan erti sebuah perjuangan bangsanya yang tidak pernah dia bayangkan selama ini. Dia melihat, dia merasai dan kini dia mulai memahami betapa peritnya liku-liku rentetan sejarah negara dan bangsa. Kembara Zohri berterusan dari satu era ke era seterusnya dan tiada siapa yang mampu membawa pulang ke zamannya kecuali dirinya sendiri.

-WILAYAHKU- DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas