Berita

Skuad muda negara sedia cabar kejuaraan AFC bawah 19

AKSI Luqman Hakim ketika membantu skuad muda negara dalam pusingan kelayakan tahun lalu.
- Diterbit 24 Jun 2020 7:10 AM MYT

SKUAD bawah 19 tahun negara kendalian Ketua Jurulatih, Brad Maloney bersedia untuk mencabar Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 19 tahun 2020 yang akan berlangsung pada Oktober depan di Tashkent, Uzbekistan.

Undian yang berlangsung di Ibu Pejabat AFC secara atas talian menyaksikan pasukan negara diundi bersama bekas juara, Qatar dalam kumpulan D yang turut dibarisi oleh pasukan Yemen dan Tajikistan.

Pasukan Malaysia, Qatar dan juga Tajikistan muncul juara kumpulan pada pusingan kelayakan yang berlangsung pada tahun lepas, sementara Yemen sekadar muncul antara lima pasukan menduduki tempat kedia terbaik ketika pusingan kelayakan.

BRAD MALONEY

Ketua Jurulatih skuad Bawah 19 tahun negara, Brad Maloney, bersikap tenang di sebalik undian itu yang akan turut menjadi kejohanan kelayakan Piala Dunia apabila hanya empat pasukan teratas pada kejuaraan tersebut akan layak beraksi di Piala Dunia Remaja bawah 20 tahun yang akan berlangsung di Indonesia.

“Ia misi yang menarik tetapi saya tidak mahu meletakkan sasaran tertentu kerana saya mempunyai kumpulan pemain yang bagus dan yakin kami boleh mencapai kejayaan,” ujar jurulatih kelahiran Australia tersebut.

Sementara itu, Pengurus pasukan skuad bawah 19 tahun negara, Datuk Kamarul Arifin Mohd Shahar berkata, barisan kejurulatih akan berusahan menyediakan satu pasukan yang berada dalam tahap terbaik bagi merealisasikan impian ke Piala Dunia.

“Bukan satu undian yang boleh dipandang remeh, tetapi kami akan sedia untuk menghadapi kejuaraan ini. Persiapan akan dilakukan semaksimum mungkin, sehingga kita terbang ke Tashkent. Sasaran utama adalah untuk layak ke Piala Dunia Bawah 20 tahun 2021 nanti,” ujarnya.

Sebagai rekod, sebahagian besar pemain skuad bawah 19 tahun negara ini terdiri daripada beberapa pemain lepasan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) termasuk penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin yang kini dikaitkan dengan beberapa buah kelab di Eropah. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas