Atlet Malaysia dilantik duta pelancongan di Jepun
PELANTIKAN Hadi Fayyadh penghormatan buat negara.

Atlet Malaysia dilantik duta pelancongan di Jepun

PEMAIN Malaysia yang kini beraksi di Liga Profesional Jepun 2, Hadi Fayyadh Abdul Razak mencatatkan sejarah baharu apabila di lantik sebagai Duta Pelancongan Kesihatan Okayama oleh Datuk Bandar Okayama, Jepun.

Hadi Fayyadh yang gembira di atas pelantikan tersebut menyifatkan ia sebagai satu penghormatan buat negara.

“Saya berasa gembira dan ini merupakan satu penghormatan kepada dunia sukan di Malaysia. Memasuki tahun kedua saya di sini saya merasakan bahawa bandar Okayama ini semakin mesra kepada pengunjung Muslim khususnya dari Malaysia kerana semakin banyak tempat-tempat serta kedai makan yang mesra muslim di buka. Ini menjadikan kehidupan saya di sini semakin selesa.

“Diharapkan lebih ramai pelancong dari Malaysia melawat bandar ini selepas pendemik Covid 19 ini berakhir nanti untuk merasai keunikkan makanan mereka yang halal untuk di makan, pemandangan yang cantik serta keunikkan budaya mereka yang menarik untuk kita kaji,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kini dia telah pun memulakan sesi latihan bersama pasukan Fagiano Okayama serta telah menghadapi beberapa perlawanan persahabatan sebelum bermulanya liga yang akan di sambung semula pada 27 Jun 2020 nanti.

Hadi Fayyadh kini sudah memasuki tahun kedua berada di Jepun sejak mengikat kontrak bersama Kelab Fagiano Okayama pada Disember 2018.
Pelantikannya merupakan satu program kerjasama antara Bandar Okayama, Bandar Maniwa, Bandar Kibi-Chuo serta kelab Fagiano Okayama bertujuan untuk memperkekenalkan tempat-tempat menarik di sekitar Okayama yang mesra kepada pengunjung Muslim dari Malaysia.

Sebelum ini beliau juga merupakan Duta produk Minuman Probiotik terkemuka dunia, Yakult di Malaysia sejak tahun 2018. -WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS