Berita

Syahmi gigih berlatih demi sukan petanque

SUKAN petanque memerlukan stategi yang hebat.
- Diterbit 24 Jun 2020 2:06 AM MYT

ATLET petanque Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Muhammad Syahmi Mohamad Nazri, 16, tidak hanya mengharapkan bantuan jurulatih semata-mata namun giat berlatih sendiri di gelanggang yang dibina oleh bapanya di rumah mereka yang terletak di Rawang.

Menurutnya sukan petanque memerlukan latihan yang lebih kerap kerana itu dia perlu bijak menguruskan masa antara pelajaran dan minat yang mendalam dalam sukan tersebut.

“Mujurlah bapa bersemangat membina gelanggang di rumah jadi mudahlah saya berlatih bersama adik-beradik lain yang juga pandai bermain sukan ini,” ujar atlet yang berada di posisi ‘shooting’ ini kepada Wilayahku.

Katanya lagi, setiap Sabtu dan Ahad dia akan berlatih seawal pukul 8 pagi hingga 7 petang untuk memahirkan diri serta mengenal pasti sebanyak mungkin strategi dalam sukan tersebut.

Tambah pemenang pingat emas sukan petanque pada Karnival Sukan Wilayah Persekutuan (SWIP) tahun lalu ini, dia berharap terpilih beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 yang dijadualkan berlangsung tahun hadapan.

“Dua tahun lalu saya pernah terlibat dalam sesi pemilihan ke SUKMA 2018 namun tidak berjaya kerana saat itu masih belum begitu mahir dalam acara ‘shooting’ berbanding hari ini. Andainya terpilih ke SUKMA, saya akan pastikan diri berjaya membawa balik pingat emas,” ujarnya.

Biarpun sukan petanque tidak sepopular sukan yang sedia ada namun dia yakin punya masa hadapan yang cerah malah turut bercita-cita tinggi untuk beraksi di gelanggang antarabangsa suatu hari nanti. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas