Selebriti

Siti Nurhaliza ‘hilang suara’, alami mild bronchitis

- Diterbit 19 September 2022 2:04 PM MYT

SELEPAS mengalami batuk yang teruk beberapa hari lalu, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memaklumkan beliau kini mengalami Mild Bronchitis atau flu dada kesan daripada COVID-19.

Disebabkan itu, pelantun lagu Cindai ini mengaku perlu melakukan rawatan imbasan X-ray akibat kerap mengalami batuk pada waktu tengah malam.

Perkara itu dikongsi Siti menerusi hantaran yang dimuat naik di InstaStory miliknya sebentar tadi.

“Baik kita buat X-ray ya. Tak tahan dah batuk-batuk tengah malam,” kongsinya dalam hantaran InstaStory.

Selepas selesai menjalani imbasan X-ray sebentar tadi, Siti kesayangan ramai itu memaklumkan, beliau disahkan mengalami bronkitis tahap sederhana akibat kesan jangkitan COVID-19.

Disebabkan itu, Siti terpaksa menggunakan inhaler selain dibekalkan beberapa ubat-ubatan lain.

“Mild bronchitis kesan Covid-19. Kena guna inhaler ya. Semoga cepat sembuh, amin,” tulisnya dalam hantaran berbeza.

Baru-baru ini, keadaan suara penyanyi itu yang tampil membuat siaran langsung dalam Instagramnya empat hari lalu dilihat semakin teruk sehingga menyukarkannya bercakap.

Sebelum ini pada Ogos lalu, Siti mendedahkan beliau baru sahaja sembuh daripada dijangkiti COVID-19 selepas pulang bercuti dari London. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas