Berita

Sistem PADU patuhi piawaian antarabangsa – Rafizi

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 26 Mac 2024 2:00 PM MYT

SISTEM Pangkalan Data Utama (PADU) telah mematuhi ciri-ciri keselamatan dan menepati piawaian yang ditetapkan di peringkat antarabangsa, Dewan Rakyat diberitahu.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata walaupun terdapat cubaan untuk mengakses sistem tersebut sehingga lebih dua juta percubaan setiap hari, namun kesemuanya telah berjaya dipatahkan dan sistem PADU masih lagi tidak berjaya ditembusi.

“Saya ingin maklumkan bahawa walaupun rekodnya terutama pada bulan pertama ada cubaan akses sebanyak lebih dua juta akses setiap hari, itu semua berjaya dipatahkan dan masih lagi tidak berjaya ditembusi.

“Sudah tentu ada perkara-perkara yang kita kena imbangi dan kita tidak membenarkan akses daripada luar negara. Kerana setakat ini rekod yang banyak cuba akses adalah daripada luar negara ataupun lokasi-lokasi yang kita rasa berisiko,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) mengenai mekanisme untuk meningkatkan dan mempercepatkan pendaftaran rakyat Malaysia terhadap PADU dan langkah-langkah kawalan data PADU daripada disalahgunakan.

Rafizi berkata dari segi keselamatan sistem PADU, pasukan pembangunan sistem PADU yang diketuai Jabatan Digital Negara bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi yang menguruskan keselamatan siber dan privasi data negara.

Ia melibatkan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan, Agensi Keselamatan Siber Negara, Cybersecurity Malaysia, Jabatan Perlindungan Data Peribadi, Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.

“Kerjasama strategik ini untuk memastikan bahawa kita mengurangkan risiko kebocoran data dan memastikan perlindungan privasi data PADU itu diberikan keutamaan yang tinggi. Dari segi keselamatan ada tiga komponen utama melibatkan keselamatan data yang diberi tumpuan.

“Antaranya adalah komponen keselamatan data melibatkan pelaksanaan kawalan akses capaian serta penyulitan (encryption). Saya tidak pernah sebut sebelum ini bahawa sebenarnya setiap data yang didaftarkan di PADU adalah encrypted.

“Maksudnya walaupun ada yang berjaya memecah masuk dan memuat turun fail, fail yang didapati itu perlu decrypt (menyah sulit),” katanya.

Rafizi berkata setakat semalam, seramai 8,093,336 warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas telahpun mendaftar iaitu sebanyak 36.8 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Dengan kadar pendaftaran antara 350,000 hingga 400,000 sehari dalam tempoh berbaki sekitar enam hari, kami mengunjurkan bahawa kita akan berjaya menghampiri kadar pendaftaran 50 peratus menjelang 31 Mac,” katanya.

Menyentuh tentang pola pendaftaran PADU pula, Rafizi berkata setakat ini negeri yang mempunyai lebih banyak kawasan pendalaman seperti Kelantan, Sabah, Sarawak mencatatkan kadar pendaftaran yang lebih tinggi berbanding di kawasan yang bandar.

“Kalau kita lihat kepada pola pendaftaran, ia sebenarnya agak ‘terbalik’ daripada apa yang kita jangka kerana negeri yang lebih banyak kawasan pendalaman itu lebih tinggi pendaftaran… ia antara lain disebabkan pasukan Jabatan Perangkaan dan PADU itu sendiri telah menyediakan flying skuad yang digerakkan di kawasan itu.

“Di bandar oleh kerana kadar celik tekonologi maklumat (IT) tinggi, kita berharap mereka lebih berpeluang untuk mengakses dan mendaftarnya secara peribadi,” katanya.

Pada masa yang sama, untuk mengelakkan risiko keciciran golongan yang berkelayakan untuk menerima bantuan daripada kerajaan, kementerian telah bertindak memadankan semua pangkalan data bantuan sedia ada seperti e-Kasih, Jabatan Kebajikan Masyarat dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dengan geo pin lokasi-lokasi yang berisiko berlaku keciciran.

“Sebenarnya lebih 50 peratus daripada 4,752 lokasi yang berisiko berlaku keciciran itu berada di Lembah Klang. Oleh itu, saya sendiri dan Kementerian Ekonomi, Kerajaan Selangor dan Kementerian Wilayah Persekutuan berjumpa dengan wakil penduduk di kawasan berisko untuk meminta mereka bantu menguar-uarkan pendaftaran,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas