Berita

Keputusan STAM 2023 tunjuk peningkatan memberangsangkan

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 26 Mac 2024 2:25 PM MYT

KEPUTUSAN peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2023 mencatat pencapaian memberangsangkan dengan Gred Purata Nasional (GPN) menurun kepada 3.09  berbanding 3.13 pada tahun sebelumnya.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata peningkatan sebanyak 0.04 itu secara tidak langsung menonjolkan potensi lepasan STAM untuk terus didukung dalam ekosistem Kementerian Pendidikan (KPM).

Beliau berkata peningkatan GPN saban tahun membolehkan kementerian itu memperluas pengambilan calon bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) kepada lepasan STAM.

“Hal ini ialah langkah KPM dalam konteks menyahut cabaran memperluas kemasukan ke IPG bukan sekadar kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi juga untuk lepasan STAM termasuk Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia serta matrikulasi.

“Peluasan bilangan ambilan ke IPG ini akan memberikan manfaat kepada pelajar lepasan STAM untuk sama-sama berkhidmat sebagai warga KPM selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Temu Mesra Menteri Pendidikan dengan Calon Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2023 di Kolej Islam Sultan Alam Shah di sini hari ini.

Untuk rekod, indeks GPN merujuk kepada pencapaian calon dalam semua mata pelajaran dengan julat antara satu hingga lima dengan nilai GPN yang menghampiri satu menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik.

Sebanyak 4,058 calon berdaftar untuk STAM Tahun 2023 merangkumi 1,294 calon sekolah KPM; Sekolah Menengah Agama Negeri (1,570 orang); Sekolah Menengah Agama Rakyat (244 orang); Sekolah Menengah Swasta (33 orang) dan calon persendirian (917 orang).

Berhubung gelombang haba yang dijangka berlanjutan hingga 29 Mac ini, Fadhlina berkata KPM telah mengeluarkan arahan untuk pihak pengurusan sekolah terlibat mematuhi garis panduan ditetapkan berdasarkan saranan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata selain mengikut panduan yang disediakan MetMalaysia dan KKM, pihak sekolah juga diingatkan sentiasa memantau keadaan cuaca dan menghentikan serta-merta aktiviti luar kelas jika keadaan memerlukan.

“Kita juga telah keluarkan arahan supaya mana-mana sekolah yang terlibat dengan cuaca panas untuk mematuhi garis panduan ini agar kesejahteraan dan kesihatan anak-anak kita sentiasa terjaga,” katanya. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas