Berita

Sinaran cahaya penghujung Ramadan

PADANG Dataran Merdeka dihiasi sinaran pelita. Foto: FACEBOOK SANTAI
- Diterbit 29 Mac 2024 12:32 PM MYT

MEMASUKI 10 malam terakhir di bulan Ramadan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengadakan pengisian istimewa iaitu Pelancaran Malam 7 Likur dan nyalaan pelita di padang Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

DBKL dalam satu kenyataan kepada Wilayahku berkata ia akan diadakan pada 30 Mac (Sabtu) ini dan merupakan sebahagian daripada pengisian Program Iftar@KL anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang sedang berlangsung.

“Program Malam 7 Likur ini telah memasuki tahun ke-9 penganjurannya sejak tahun 2015 dan ketika itu terdapat sebanyak 1,000 pelita yang dinyalakan di seluruh padang berkenaan,” jelas DBKL.

Menurut DBKL, tujuan utama pengisian pelita diadakan di padang Dataran Merdeka adalah untuk menggambarkan kegembiraan warga kota menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri dengan cara memeriahkan dan mewarnai suasana pada waktu malam di Kuala Lumpur.

“Sambutan ini merupakan simbolik kepada tradisi masyarakat Melayu yang memasang lampu pelita di kawasan rumah menjelang penghujung Ramadan.

“Selain itu, pengisian ini juga dijadikan sebagai daya penarik kepada pelancong asing yang datang berkunjung ke Kuala Lumpur.

“Kemeriahan ini dapat dirasakan pada setiap tahun apabila warga kota menjadikan lokasi ini sebagai destinasi berbuka puasa sambil meluangkan masa bersama keluarga dan sahabat handai,” ujarnya.

Tambah DBKL, program seperti ini juga dilihat mampu menjadi daya penarik sekali gus menjemput pelancong asing datang melancong ke Kuala Lumpur.

Di samping itu, ia juga secara tidak langsung dapat menggambarkan keharmonian, keamanan dan perpaduan masyarakat Malaysia.

Terdahulu, DBKL selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuala Lumpur turut sama memeriahkan Program Iftar@KL di Dataran Merdeka yang berlangsung selama tiga minggu berturut-turut pada setiap hujung minggu di sepanjang bulan Ramadan.

Ia bermula pada 23 dan 24 Mac lalu dan akan diteruskan pada 30 dan 31 Mac serta 6 dan 7 April nanti. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas