Berita

Operasi niaga warga asing dibanteras

- Diterbit 29 Mac 2024 12:31 PM MYT

OPERASI perniagaan melibatkan penjaja dan peniaga kecil tanpa lesen dan kebenaran sah dalam kalangan warga asing dilihat semakin berleluasa terutama ketika bulan Ramadan.

Golongan itu dikatakan semakin berani memacakkan khemah di bahu-bahu jalan meskipun pelbagai larangan serta notis arahan telah dikeluarkan.

Ekoran daripada itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuala Lumpur terus mempergiatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kegiatan tersebut terutama di lokasi-lokasi tumpuan hot spot.

Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur merupakan antara lokasi seorang peniaga asing dikenakan tindakan sita oleh DBKL melalui Jabatan Penguatkuasaan baru-baru ini.

Menurut DBKL, tindakan sitaan itu dijalankan semasa anggota penguat kuasa melakukan rondaan di kawasan tersebut.

“Hasil daripada rondaan itu, kesemua barangan jualan terdiri daripada buah-buahan dan sayur-sayuran telah disita dan dibawa ke Setor Sitaan DBKL, Jalan Lombong, Taman Miharja.

“Ketika operasi, terdapat seorang lelaki warganegara Bangladesh yang sedang menjalankan aktiviti tersebut di kaki lima kawasan berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, DBKL turut melibatkan Pejabat Cawangan Bandar Tun Razak dalam tindakan sita kepada penjaja asing yang menjalankan perniagaan martabak di Jalan Tasik Selatan, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

“Antara barangan yang disita adalah satu unit tong gas, satu unit dapur gas, satu unit meja lipat, satu unit khemah 8×8 dan satu unit kuali bulat.

“Kesemua barang sitaan telah dihantar ke Setor Sitaan DBKL, Jalan Lombong, Taman Miharja, Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, menjelang ketibaan Aidilfitri, Jabatan Penguatkuasaan turut menguatkuasakan pemantauan terhadap aktiviti Bazar Aidilfitri di Lorong Tuanku Abdul Rahman (Lorong TAR).

Dalam memastikan kelancaran pemantauan itu, Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Mohd Muzammer Jamaluddin turun padang meninjau keadaan aktiviti di bazar pada Isnin sekitar pukul 4 petang.

Beliau juga turut diberi taklimat bagi pengaturan penugasan berkaitan kawalan lalu lintas, rondaan dan tindakan penguatkuasaan ke atas aktiviti perniagaan bazar tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas