Berita

Signatures Suria KLCC: Signatures Suria KLCC: Nikmati hidangan dengan selesa, selamat

RUANG makan di Signatures Suria KLCC memberi ketenangan kepada pengunjung di samping menikmati juadah yang enak.
- Diterbit 29 November 2020 7:36 AM MYT

BARU ALAF BAHARU! Satu perkataan yang akan terucap saat kaki melangkah masuk ke ruangan Medan Selera Suria KLCC.

Mana tidaknya, sekali pandang pengunjung tidak akan tahu itu adalah ruang makan kerana konsep yang diterapkan bersifat santai, eksklusif dan mesra pengguna.

Lebih menarik apabila, pengunjung mempunyai ‘privacy’ sendiri selain susunan meja dan kerusinya yang menepati prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM).

Malah, penampilan baharu yang berkeluasan 66,451 kaki persegi itu sejajar dengan namanya, Medan Selera Signatures Suria KLCC.

Bukan hanya direka bentuk dan dibina mengikut piawaian kebersihan yang tinggi bagi memastikan suasana mesra pelanggan yang tiada tolok bandingnya, Signatures Suria KLCC turut membudayakan norma baharu.

Sentiasa memenuhi garis panduan yang ditetapkan, penampilan baharu medan selera yang terletak di aras 2 Suria KLCC itu menjadikannya lebih luas dan selamat untuk dikunjungi.

Untuk pengetahuan umum, ruang tersebut mula dibuka kepada pelanggan pada tahun 1998. Ia kemudian melalui beberapa proses pengubahsuaian selaras dengan peredaran zaman.

Ubah suai pertama dilakukan pada tahun 2005 dan seterusnya pada tahun 2015 yang menyaksikan pertambahan bilangan tempat duduk kepada 1,200 buah.

Terkini, pembangunan semula membolehkan 1,500 tempat duduk disediakan kepada pengunjung.

Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Andrew Brien berkata, pertambahan ruang tersebut melibatkan kawasan yang dahulunya sebahagian daripada pasaraya Parkson.

Ujar beliau, walaupun terdapat pertambahan 300 tempat duduk, namun ia masih mengekalkan penjarakan fizikal dalam amalan norma baharu pada masa ini.

“Selain daripada ruang luas untuk membolehkan penjarakan fizikal, medan selera baharu ini juga menghidangkan kepelbagaian jenis makanan untuk memenuhi citarasa pengunjung.

“Ini kerana terdapat pertambahan daripada 22 kedai dan empat kios kepada 23 kedai, enam kios serta tujuh restoran antaranya ‘Shucked Oyster and Seafood Bar’, AhhYum by Kampong Kravers, Warung Prima, JJ Chilli Pan Mee, ‘KAGURA Tokyo Chicken Ramen’, ‘Eatomo’, dan ‘I Love Yoo!’,” katanya.

Lebih menarik, ujar Brien, Signatures turut dilengkapi kemudahan infrastruktur 5G
serta soket untuk pengecasan di bawah tempat duduk.

Menurutnya, kemudahan berkenaan disediakan selari dengan perkembangan teknologi masa kini dan era millenium yang membolehkan masyarakat bekerja di mana-mana sahaja.

“Berlatarbelakangkan bangunan-bangunan pencakar langit serta air pancut berirama Taman KLCC, Medan Selera ‘Signatures’ pasti menjanjikan pemandangan yang menenangkan sepanjang hari,” katanya.

TERIMA SIJIL HACCP

Dari sudut kebersihan pula, Medan Selera ‘Signatures’ merupakan ruangan pertama di Malaysia yang menerima persijilan rasmi HACCP ‘Hazard Analysis and Critical Control Point’.

Sijil yang diterima pada 2005 itu adalah satu sistem pengurusan yang berfungsi untuk memastikan keselamatan produk makanan bermula dari analisa dan pengawalan dari sudut biologi, kimia serta bahaya fizikal terhadap pengendalian penghasilan bahan mentah, perolehan, perusahaan sehinggalah pengilangan, pengagihan dan pengambilan makanan.

Dalam pematuhan norma baharu pula, Suria KLCC telah menjalin kerjasama dengan KKM bagi memastikan susunan tempat duduk yang selesa sekali gus menepati keperluan penjarakan sosial yang ditetapkan.

Bahkan, badan pengurusan di bangunan agung itu mewajibkan setiap pengusaha rangkaian makanan mempunyai sijil HACCP.

Ia seterusnya menjadikan mereka kekal ulung berikutan sijil tersebut adalah pengiktirafan antarabangsa yang diberikan Lloyd’s Registered Quality Assurance (LRQA) kepada pengusaha makanan yang menepati tahap piawaian tinggi.

Justeru, tidak hairanlah bangunan yang pernah diiktiraf sebagai menara tertinggi dunia, sentiasa menjadi tumpuan pelancong luar dan dalam negara.

Menurut Brien, pihaknya sentiasa menitikberatkan setiap perkara sama ada aspek keselamatan mahupun kebersihan. “Segenap aspek diambil kira dan usaha telah dijalankan untuk menambah baik ‘Signatures’ yang terhasil kini.

“Penelitian daripada SOP pematuhan kebersihan sehinggalah nilai estetika dan berkeupayaan untuk mengamalkan norma baharu dalam jangka masa lama,” ujarnya sambil menambah, Suria KLCC amat berbangga dan gembira dengan pembukaan medan selera yang bertaraf dunia kepada rakyat Malaysia.

Sebelum ini, Suria KLCC pernah melancarkan Kempen FoodSAFE@SuriaKLCC pada Mei 2006.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas