Berita

Medan Selera KLCC ‘port’ kerja baharu

||NUR AMIRAH|WAN ZAIDI
- Diterbit 29 November 2020 7:45 AM MYT

RUANGAN santai dan selesa menjadikan Medan Selera Suria KLCC lokasi pilihan mereka yang ingin melakukan kerja dalam suasana tenang sambil menikmati aneka hidangan lazat.

Dek kerana itu, tidak hairanlah saban hari ruangan ini sentiasa dipenuhi oleh pekerja mahupun pelajar yang menjadikannya ‘port’ baharu untuk menyelesaikan tugasan yang diberi majikan mahupun pensyarah.

NUR AMIRAH

Menurut Perunding Takaful, Nur Amirah Ahmad, 22, walaupun diarahkan bekerja dari rumah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor, dia memilih menyelesaikan tugasan di medan selera tersebut.

“Suasana di sini tenang untuk bekerja. Dalam masa yang sama, saya tidak risau kerana lokasi ini mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Jika dilihat meja yang disusun juga jauh antara satu sama lain,” ujarnya.

Tambahnya yang menetap di Taman Melawati, Kuala Lumpur, hampir setiap hari dia akan menghabiskan masa berada di lokasi tersebut bermula sebelah pagi hingga petang.

NORAFIDAH

Sementara itu, bagi kakitangan bank, Norafidah Abd Halim, 36, pula, lokasi pejabatnya yang berada di sekitar KLCC membuatkannya memilih medan tersebut untuk berbincang perihal kerja bersama pelanggan.

“Ruangan di sini selesa kerana tidak terlalu bising biarpun ketika sesi makan tengah hari. Mungkin disebabkan tempat ini luas, maka orang ramai tidak perlu bersesaksesak seperti di medan selera yang terdapat di luar sana,” ujarnya.

WAN ZAIDI

Dalam pada itu, salah seorang jurutera, Wan Zaidi Wan Ibrahim, 48, pula menggambarkan wajah baharu medan selera tersebut boleh diibaratkan seperti zaman alaf baru yang serba moden.

“Dulu saya pernah bekerja di KLCC. Hari ini setelah selesai tugasan di sekitar kawasan ini, saya singgah seketika untuk membasahkan tekak. Terkejut saya, semuanya sudah berubah dan kelihatan jauh ‘segar’ berbanding dahulu,” ujarnya.

Bagi pelanggan yang berasal dari Keramat, Hanis Othman, 69, pula berkata, harga makanan yang berpatutan selain variasi pelbagai menjadikan Medan Selera Suria KLCC lokasi pilihan tepat di ibu kota.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas