Berita

Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2024 diadakan Julai ini

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 26 Mac 2024 4:50 PM MYT

SIDANG Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Malaysia 2024 yang akan berlangsung pada Julai ini bakal menjadi platform mengenal pasti arah tuju dan tindakan yang lebih jelas ke arah mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030.

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata sidang kemuncak selama dua hari anjuran Kementerian Ekonomi dan Pusat SDG Negara selaku penganjur bersama itu akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Penganjuran sidang kemuncak ini ialah komitmen kerajaan untuk mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030 dan 17 matlamatnya yang lebih dikenali sebagai SDG.

“Kita sedia maklum bahawa segala usaha berkaitan SDG telah mula dilaksanakan secara berperingkat sejak 2016, berdasarkan Rancangan Malaysia setiap lima tahun, bermula dengan Rancangan Malaysia Ke-11,” katanya ketika berucap merasmikan majlis prapeluncuran Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata sidang kemuncak SDG yang diadakan buat kali pertama pada 2019 telah membantu kerajaan dalam memperkemas penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Maka, pada sidang kemuncak SDG yang kedua ini, kerajaan berharap agar hasil penyertaan daripada pelbagai pihak akan menghasilkan input dan maklum balas yang turut dapat membantu pihak kerajaan dalam merangka RMK13, bagi 2025 hingga 2030.

“Sidang kemuncak SDG ini akan menjadi satu landasan untuk para peserta daripada seluruh lapisan masyarakat meluaskan jaringan seterusnya bekerjasama mencari penyelesaian dan pelaksanaan yang terbaik,” katanya.

Berdasarkan penilaian yang dibuat oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia, beliau berkata Malaysia mencatatkan 64 peratus bagi sasaran 17 SDG yang mengikut jadual.

Hanifah Hajar berkata baki 38 peratus daripada sasaran itu tidak mengikut jadual termasuk perkara yang berkaitan perubahan iklim.

“Ini bermakna kita perlu bergerak dengan lebih pantas dan melangkaui apa yang sedang kita lakukan sekarang. Terdapat banyak lagi usaha dan penambahbaikan yang boleh dilakukan termasuk memberi kefahaman yang jelas di semua peringkat mengenai SDG,” katanya.

Hanifah Hajar berkata pada sidang kemuncak itu, penggubal dasar dan pakar serta pemimpin industri akan diberi ruang dan peluang untuk bertukar pandangan melalui sesi perbincangan panel, bengkel, dan ucaptama.

“Perkara yang akan dibincangkan menyentuh pelbagai aspek kehidupan, yang secara keseluruhannya menuju ke arah kesejahteraan yang lestari untuk semua.

“Acara ini juga mengandungi pentas dialog untuk menilai pencapaian SDG di Malaysia. Para peserta akan dapat memberikan input dan maklum balas terhadap pelbagai perkara yang menyentuh pembangunan mampan,” katanya.

Beliau berkata input dan maklum balas yang diberikan akan membolehkan kerjaaan mengenal pasti kekurangan yang dapat ditambah baik serta cabaran yang boleh diatasi demi kepentingan negara.

“Inilah komitmen kami, bahawa dasar yang baik seharusnya boleh diperbaharui dan dibangunkan bersama dengan maklum balas daripada rakyat, terutamanya yang bersesuaian untuk kesejahteraan generasi akan datang.

“Sesungguhnya, dasar ini ialah milik semua, dan kami mahu kumpulan sasaran di semua peringkat bagi 17 Matlamat yang hendak dicapai melalui Agenda 2030 dilibatkan bersama,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas