Berita

Kes dadah meningkat 25 peratus di Labuan

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 26 Mac 2024 4:55 PM MYT

LABUAN menyaksikan peningkatan 25 peratus kes jenayah berkaitan dadah tahun ini bermula Januari hingga setakat ini, berbanding tempoh sama tahun lepas.

Ketua Polis Labuan Supt Mohd Hamizi Halim berkata pihaknya menahan 155 individu atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan merampas dadah serta aset bernilai keseluruhan lebih RM71,000 dalam tempoh tersebut.

Empat daripada suspek disiasat di bawah Seksyen 39B akta berkenaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan kerana mengedar dadah, katanya kepada pemberita hari ini.

Mohd Hamizi berkata 11 individu ditahan di bawah Seksyen 39A(1), dikategorikan sebagai kes membekalkan, yang memperuntukkan dua hingga lima tahun penjara dan sebatan jika sabit kesalahan.

Beliau berkata 122 individu ditahan mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (pertama kali didapati mengambil dadah) dengan lima daripada mereka menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 39C (akta sama) bagi kesalahan berulang manakala 18 lagi didakwa mengikut Seksyen 12 (2) akta sama (memiliki dadah)

Katanya dua individu diambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

“Peningkatan insiden berkaitan dadah telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pihak berkuasa dan masyarakat, oleh itu terdapat keperluan untuk usaha kolaboratif daripada semua untuk memerangi masalah yang semakin meningkat ini dengan berkesan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas