Berita

Seramai 133 murid sekolah rendah dan agama di daerah ini menjadi penerima fasa pertama bantuan cermin mata

- Diterbit 17 Mac 2021 4:54 AM MYT

SERAMAI 133 murid sekolah rendah dan agama di daerah ini menjadi penerima fasa pertama bantuan cermin mata daripada Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

Menerusi kerjasama Season Optical, bantuan cermin mata itu diberikan kepada murid sekolah kategori keluarga berpendapatan rendah (B40) yang mengalami masalah penglihatan.

Ketua Pegawai Operasi Season Optical Daniel Lor berkata penyampaian bantuan cermin mata akan dilakukan secara berperingkat di seluruh daerah di negeri ini yang dijangka mengambil masa setahun.

“Fasa pertama ini melibatkan jumlah penerima seramai 133 orang, iaitu pemeriksaan mata akan dijalankan pada hari ini dan esok,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu, murid-murid berkenaan mula menjalani pemeriksaan mata oleh Season Optical di Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru pagi tadi.

Pemeriksaan mata itu turut dihadiri Ahli Lembaga Pemegang Amanah YSIJ Datuk Avinderjit Singh, Timbalan Pengarah Pendidikan Johor (Sektor Pembangunan Murid) Omar Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ Fadhly Suffian Laili dan Ketua Pegawai Eksekutif Season Optical, Calvin Chung.

Terdahulu, Sultan Johor sebelum ini bertitah, YSIJ bersama Season Optical menjalinkan kerjasama dalam menghulurkan bantuan cermin mata bernilai RM500,000 kepada 2,500 murid sekolah di seluruh Johor. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas