Berita

Seoul, Tokyo bincang pampasan untuk mangsa buruh paksa perang – Laporan

- Diterbit 16 Januari 2023 10:21 AM MYT

SEOUL dan Tokyo mengadakan rundingan diplomatik mengenai pampasan kepada mangsa buruh paksa semasa pemerintahan Jepun di Semenanjung Korea pada 1910-1945, lapor Sputnik.

Pada 2018, Mahkamah Agung Korea Selatan memutuskan bahawa perjanjian 1965, yang menurut Tokyo, menyelesaikan semua isu berkaitan buruh paksa, tidak melarang bekas mangsa daripada mendapatkan ganti rugi secara individu.

Keputusan itu secara drastik meningkatkan ketegangan antara kedua-dua negara.

Seo Min-jung yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Asia dan Pasifik Kementerian Luar Korea Selatan dan rakan sejawatannya dari Jepun Takehiro Funakoshi mengadakan perbincangan secara bersemuka di Tokyo, menurut agensi berita Yonhap.

Pertemuan itu berlaku selepas laporan minggu lepas mengenai hasrat Seoul untuk menubuhkan dana awam bagi mengumpul wang sebagai pampasan kepada rakyat Korea yang memenangi saman terhadap syarikat Jepun Mitsubishi Heavy Industries Ltd. dan Nippon Steel Corp., yang dituduh menggunakan buruh paksa semasa penjajahan Jepun.

Plaintif menolak idea itu sambil menyatakan bahawa ia bukanlah mengenai wang sebaliknya mengenai pengakuan Jepun atas kesalahannya dan menangani pelanggaran hak asasi manusia, lapor Yonhap.

Isu buruh paksa semasa pemerintahan Jepun ke atas Semenanjung Korea cetuskan hubungan tegang antara Seoul dan Tokyo selama ini. Kedua-dua negara telah mengadakan beberapa siri rundingan untuk menyelesaikan masalah tersebut. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas