Berita

LIMA’23 dijangka peroleh kontrak antara RM7 bilion hingga RM8 bilion – Mohamad

- Diterbit 16 Januari 2023 10:47 AM MYT

KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) menganggarkan kontrak program perolehan dan kerjasama industri bernilai RM7 bilion hingga RM8 bilion, menerusi Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ini kerana pameran LIMA’23, merupakan tempat pemain industri pertahanan untuk berkumpul dan bertukar pandangan di seluruh dunia.

Beliau berharap pada pameran LIMA’23, lebih banyak perjanjian persefahaman ditandatangani kerana LIMA’23 bukan sahaja tempat untuk melihat pameran, malah ia tempat untuk perdagangan antarabangsa.

“Jumlah berkenaan (RM7 bilion ke RM8 bilion) merupakan anggaran, jika kita lihat pada pameran LIMA’19, MINDEF berjaya memperoleh lebih RM4 bilion.

“Penganjuran pameran LIMA’23, merupakan pameran yang dinantikan setelah empat tahun ia tidak dilaksanakan kerana wabak COVID-19,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran pameran LIMA’23 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia, di sini, hari ini.

Mohamad berkata ia akan menjadi matlamat MINDEF kerana negara di rantau Asia Pasifik sedang meneliti dan menilai untuk membeli aset dan juga perolehan.

Selain itu, beliau berkata pameran LIMA’23 merupakan tempat untuk pemain industri menjalinkan kerjasama teknologi pertahanan.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kementeriannya akan mencari jalan untuk menyelesaikan isu kekurangan perjalanan perkhidmatan feri ke Langkawi, bagi menampung jumlah pelancong yang dijangka meningkat ketika acara itu berlangsung.

“Pengalaman saya pada LIMA’19, ia juga menarik ramai pelancong domestik untuk pergi ke Pulau Langkawi. Cabaran kita sekarang ini untuk menyelesaikan isu feri untuk ke Langkawi kerana perkhidmatan feri kita ada sedikit terbatas.

“Kita akan cuba selesaikan isu tersebut supaya ia tidak membantutkan sektor pelancongan di Langkawi dan supaya ia memberi satu imej yang positif kepada negara kita di persada antarabangsa,” katanya.

Loke berkata kementeriannya juga akan membantu memudahkan proses permohonan permit teksi dan e-hailing, sekiranya terdapat keperluan.

Dalam pada itu, Loke berkata LIMA ’23 juga merupakan acara penting untuk hubungan diplomatik Malaysia dengan negara-negara luar, khususnya dari Asia Tenggara.

Beliau berkata ini kerana acara tersebut turut akan menjemput menteri-menteri pertahanan dan pengangkutan dari negara-negara serantau, untuk perbincangan dua hala.

“Melalui acara ini, kita akan ada banyak perbincangan dua hala yang akan memberikan satu impak yang amat besar kepada hubungan luar negara kita,” katanya.

LIMA’23 memberi peluang kepada MINDEF dan ATM melihat aset-aset pertahanan dari luar negara, selain bertemu pihak diplomasi strategi pertahanan.

LIMA’23 dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 27 Mei ini yang akan disertai lebih 600 syarikat pempamer daripada industri pertahanan tempatan dan antarabangsa, dan dijangka menarik kehadiran lebih 50,000 delegasi. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas