Berita

Sentimen perkauman: Polis jamin keselamatan negara terkawal – KPN

- Diterbit 17 Mac 2023 1:30 PM MYT

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa tahap keselamatan negara terkawal serta menzahirkan komitmen dalam memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksana secara berterusan, demi memastikan keselamatan kekal terjamin.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata PDRM sentiasa memantau rapi situasi keselamatan semasa dan akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap sesiapa sahaja yang dikesan mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama atau kaum, yang berupaya menggugat keamanan negara.

“Masyarakat dinasihatkan agar tidak mengeluarkan atau berkongsi kenyataan yang mampu menjejaskan keharmonian kaum atau membangkitkan kegusaran awam.

“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai sebarang tindakan sedemikian boleh menyalurkannya ke balai polis yang berhampiran untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata sebarang usaha untuk mengadu domba serta menghangatkan ‘suhu’ perbezaan kaum dan agama di negara ini tidak akan diizinkan.

Anwar turut mendedahkan terdapat usaha pihak tertentu meniupkan sentimen kaum dan agama, sekali gus telah mengarahkan pasukan keselamatan untuk berwaspada bagi menjaga keamanan negara agar sentimen itu tidak digunakan untuk menimbulkan kekacauan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas