Berita

‘Hadiah bermakna buat kami,’ – penerima

WAN Azizah (sebelas dari kiri atas) bergambar bersama sebahagian pelajar sekolah kategori B40 Parlimen Bandar Tun Razak Ahad lalu
- Diterbit 18 Mac 2023 12:30 AM MYT

MENJELANG pembukaan semula sesi persekolahan bagi penggal baharu tahun 2023, seramai 1,500 anak-anak murid sekolah daripada kategori golongan berpendapatan rendah (B40) di sekitar kawasan parlimen Bandar Tun Razak menerima bantuan Back To School di Stadium Bola Sepak, Cheras, Kuala Lumpur pada 12 Mac lalu.

Sumbangan berupa beg sandang termasuk pakaian, alat tulis, botol air dan kasut bukan sahaja mengukir senyuman di wajah pelajar-pelajar sekolah malah turut melegakan dan meringankan beban perbelanjaan ibu bapa untuk melengkapkan kelengkapan sekolah anak-anak.

Salah seorang ibu kepada penerima bantuan, Siti Norsanisah Abd Samad, 52, bersyukur dan menganggap sumbangan ini sebagai hadiah istimewa dan bermakna buatnya kerana anaknya, Syed Rayyan Zickery Syed Mustaffa, 13, tidak pernah menerima apa-apa bantuan kelengkapan persekolahan seperti ini daripada mana-mana pihak.

“Syukur alhamdulillah, bantuan ini sangat membantu saya. Bantuan ini juga telah mengurangkan kos perbelanjaan dan meringankan beban suami memandangkan pendapatan kami sekeluarga bergantung kepadanya.

“Justeru itu, saya ingin mengucapkan terima kasih khususnya kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan seluruh pihak terlibat kerana menyedari keadaan dan keperluan golongan B40 dan memberikan bantuan ini kepada anak saya,” katanya kepada Wilayahku.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tun Razak, Nurhanna Natasyah Mohd Hanif, 17, bersyukur kerana terpilih untuk menerima sumbangan ini serta berharap ia akan memberi semangat dan motivasi kepadanya untuk memperoleh kejayaan dalam kehidupan dan pelajaran.

Terdahulu, Program Back To School yang berlangsung ini merupakan anjuran Majlis Parlimen Bandar Tun Razak dengan kerjasama YWP yang bertujuan membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga B40 di sekitar Wilayah Persekutuan.

Penyerahan bantuan tersebut telah disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri yang juga merupakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan diiringi Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin serta Pengarah Eksekutif YWP, Abdul Rahman Siraj. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas