Berita

Sekatan kemasukan warga asing ke Malaysia berasaskan jadual pemarkahan matriks risiko

KUALA LUMPUR sentiasa dipenuhi warga asing terutama pada cuti hujung minggu. -Gambar hiasan
- Diterbit 2 Disember 2020 4:18 AM MYT

SEKATAN kemasukan rakyat asing ke Malaysia dibuat berdasarkan jadual pemarkahan matriks risiko yang mampu memberikan gambaran jelas mengenai risiko kes import COVID-19 ke negara ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata kriteria yang diambil dalam pengiraan jadual pemarkahan matriks risiko itu meliputi bilangan kes COVID-19, kadar insiden dan kematian bagi sejuta penduduk dalam tempoh 14 hari kebelakangan, kadar kematian kes serta indeks pemulihan.

“Kemasukan kes import ini akan memberikan kesan besar kepada Malaysia kerana ia menggunakan kemudahan dan fasiliti milik Malaysia untuk merawat kes itu yang sebenarnya berlaku di luar negara.

“Ini akan mengganggu perkhidmatan kesihatan kerajaan kerana tanggungjawab utama negara ialah menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik termasuk rawatan COVID-19 kepada rakyat Malaysia dan bukannya warga asing yang masuk ke Malaysia,” katanya.

Beliau menjawab soalan Dr Ong Kian Ming (PH-Bangi) yang ingin tahu sebab dasar ‘blanket ban’ dilaksanakan pada September terhadap semua rakyat dari negara yang mempunyai kes COVID-19 mencecah 150,000 kes termasuk mereka yang mempunyai permit masuk negara yang sah seperti pemegang Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan pekerja ekspatriat.

Mohd Redzuan berkata keputusan kerajaan mengenakan sekatan kemasukan ke atas 23 negara berisiko atau ‘blanket ban’ hanya diambil sebagai langkah segera pada awal September lepas berikutan ketika itu kerajaan tidak mempunyai data yang mencukupi mengenai situasi penularan dan kaedah pengekangan wabak COVID-19 di negara-negara luar.

Menurutnya, kerajaan mengambil langkah itu demi melindungi rakyat Malaysia kerana bimbang berlakunya peningkatan kes di negara luar dan risiko jangkitan ke dalam negara ini.

“Dalam tempoh sekatan sementara yang dibuat itu, kerajaan telah mendapatkan maklumat terkini dan membuat penilaian risiko semula. Sehubungan itu, pada 10 Sept 2020 kerajaan mengambil keputusan supaya pemegang pas ekspatriat kategori EP 1 dan pakar teknikal atau pekerja mahir asing dari 23 negara yang dikenakan sekatan kemasukan, dibenarkan memasuki Malaysia.

“Mereka dikehendaki mengemukakan permohonan kepada Jabatan Imigresen serta dokumen sokongan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia atau kementerian/agensi yang berkaitan. Mereka juga tertakluk kepada perintah kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan akan terus mengkaji dan meneliti perkara itu dari semasa ke semasa untuk membenarkan kemasukan dari negara luar secara bersasar dengan menggunakan konsep gelembung perjalanan. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas