Berita

Sedia hadapi Covid-19 dalam tempoh lebih lama

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH
- Diterbit 28 April 2020 2:51 PM MYT

PUTRAJAYA -Masyarakat perlu bersedia menghadapi ancaman wabak Covid-19  ini untuk tempoh yang lebih panjang memandangkan ia tidak terhapus sepenuhnya melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, memandangkan tiada vaksin ditemui ketika ini, amalan penjarakan sosial dan sentiasa membersihkan tangan  akan bertindak sebagai ‘vaksin’ bagi membantu masyarakat memerangi penularan jangkitan wabak ini.

“Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneruskan aktiviti-aktiviti pembendungan dan pengawalan virus ini.

“Meskipun begitu, penglibatan aktif rakyat adalah amat penting iaitu meneruskan amalan jarak sosial yang selamat iaitu sekurang-kurangnya satu meter.

“Rakyat juga perlu menjaga tahap kebersihan diri terutamanya dengan kerap membasuh tangan dengan air dan sabun,” katanya pada sidang akhbar harian hari ini.

PENJARAKAN sosial perlu terus diamalkan untuk elak penularan jangkitan Covid-19

Dr Noor Hisham berkata, norma kehidupan baharu itu juga perlu diterapkan ke semua peringkat masyarakat supaya menjadi amalan semua.

“Seperti ditekankan KKM selama ini, perjuangan kita menentang musuh tidak kelihatan ini masih panjang dan usaha kita perlu berterusan.

“Ternyata kejayaan dan pencapaian melandaikan lengkung dan mengawal penularan wabak ini adalah kejayaan bersama, antara rakyat dan kerajaan,” katanya.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas