Berita

Kes baharu Covid-19 menurun, catat satu kematian

PROSES pensampelan dilakukan di kawasan PKPD Pasar Borong Kuala Lumpur. Gambar hiasan
- Diterbit 28 April 2020 2:31 PM MYT

PUTRAJAYA – Jumlah pertambahan kes positif Covid-19 dilihat terus menurun dan kekal dua angka dengan terbaru 31 kes dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penambahan terbaru itu menjadikan 5,851 kes keseluruhan di negara ini.

“Dari jumlah ini 1,791 kes aktif dan boleh berjangkit namun sudah diasingkan dan diberi rawatan.

“Ketika ini, 36 kes berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 17 darinya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang akhbar harian hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, setakat pukul 12 tengah hari tadi, 75 pesakit dibenarkan keluar hospital hari ini.

Katanya, jumlah itu menjadikan bilangan pesakit pulih mencecah 4,032 dengan 68.9 peratus dicatatkan dari keseluruhan kes positif Covid-19 di negara ini.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat satu pertambahan kematian membabitkan lelaki tempatan berusia 67 tahun yang mempunyai latar belakang sakit kencing manis, darah tinggi, jantung dan strok.

“Mangsa dirawat di Hospital Sungai Buloh sejak 4 April lalu dan disahkan meninggal dunia pukul 9.40 pagi tadi.

“Ini menjadikan keseluruhan kematian akibat pandemik itu adalah 100 kes iaitu 1.7 peratus dari keseluruhan kes,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas