Berita

Charles Santiago akan disiasat atas dakwaan ingkar PKP

TANGKAPAN layar rakaman video yang menunjukkan Charles (kanan) bersama orang ramai pada satu program agihan bantuan di Klang baru-baru ini. CHARLES
- Diterbit 28 April 2020 3:09 PM MYT

KLANG – Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago akan disiasat atas dakwaan ingkar kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa menganjurkan agihan bantuan di kawasan Parlimennya, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh yang mengesahkan perkara itu memberitahu, notis telah dihantar kepada Ahli Parlimen tersebut bersama pembantunya untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara bagi dirakamkan keterangannya.

“Seramai enam orang saksi telah dipanggil untuk membantu siasatan namun tiada tangkapan dilakukan setakat ini.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nurulhuda berkata, pihaknya menerima makluman berhubung perkumpulan orang ramai di Dewan Orang Ramai Jalan Sungai Keramat 9, Taman Klang Utama kira-kira pukul 10.20 pagi Ahad lalu.

Beliau menegaskan, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati terdapat kira-kira 200 hingga 300 orang berkumpul dengan kehadiran Santiago bersama beberapa petugas sedang mengagihkan bantuan barang basah iaitu sayur-sayuran kepada penduduk sekitar.

“Hasil siasatan mendapati pihak penganjur ada mengemukakan surat kebenaran daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menjalankan aktiviti pada 27 April namun aktiviti dijalankan sehari lebih awal.

“Tiada anggota RELA atau Angkatan Pertahanan Awam (APM) berada di situ untuk mengawal aktiviti terbabit selain tiada penjarakan sosial dan kaedah pemberian sumbangan juga tidak disusun dengan teliti,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menyalurkan bantuan kepada penduduk. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas