Berita

“Saya Rasa Diperbodohkan” – WANI COMEL Murung Angkara Jutawan Kosmetik

- Diterbit 4 Disember 2020 9:44 AM MYT

SEORANG gadis kampung Wani Comel yang tular kerana mempunyai masalah berat badan mencecah hampir 300 kilogram tampil membuat pendedahan  mendakwa dirinya telah dianiayai oleh seorang jutawan kosmetik terkenal. 

Wani atau nama sebenarnya Nurul Airawani Nazira Ibrahim, 23, mendakwa, dirinya terasa seperti ditipu dan dipergunakan selepas tidak mendapat apa-apa faedah dan bayaran seperti yang dijanjikan.

Menurut Wani, dia telah didatangi jutawan  kosmetik tersebut pada bulan Ogos tahun lalu untuk membantunya menjalani pembedahan bariatrik dan mengambilnya menjadi duta bagi satu jenama produk pelangsingan badan.

“Selepas menjalani pembedahan di salah sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur pada bulan Ogos 2019, saya telah didatangi pihak usahawan tersebut untuk menandatangani kontrak.

“Bagaimanapun saya tidak diberitahu dengan jelas tentang kandungan kontrak tersebut tanpa mengetahui isi kandungannya,” katanya ketika ditemui dalam satu sidang media hari ini.

Wani turut meluahkan rasa kecewa apabila segala urusan pemeriksaan dilakukannya sendiri tanpa diberikan wang pembiayaan seperti yang dijanjikan. 

Bukan itu sahaja, Wani juga tidak mengetahui status dan tindakan yang perlu diambil kerana segala rekod kesihatan selepas dia menjalani pembedahan jugak dipegang oleh pihak usahawan tersebut. 

“Saya memikirkan soal keluarga kerana pihak usahawan tersebut telah berjanji akan membantu saya daripada segi kewangan.

“Namun saya tidak menerima sebarang bentuk bantuan seperti yang telah dijanjikan. Lebih menyedihkan apabila saya cuma menerima ‘upah’ kurang daripada RM1,000 selepas menghasilkan konten tentang produk pelangsingan badan,” kata gadis dari Jerantut, Pahang itu lagi. 

Dalam sidang media tersebut, Wani turut memberitahu bahawa dia terpaksa membuat laporan polis untuk menjamin keselamatan diri selepas didatangi wakil usahawan tersebut dalam keadaan marah dan telah mengoyakkan kontrak yang telah ditandatangani.

“Saya telah dimarahi hanya kerana telah menerima bantuan daripada pihak lain

Tampil membuka mulut, Wanie yang turut ditemani peguam, Haziq Aizuddin Subhi berkata, dia ingin menuntut pampasan dan habuan yang telah dijanjikan selain ingin membatalkan kontrak yang telah ditandatangani.

“Saya mengalami kemurungan disebabkan perkara tersebut selain turut dikecam dan dicaci netizen dengan tuduhan tidak berasas.

“Ada yang menggelar saya sebagai tidak kenang budi, pemalas dan hanya mengharapkan bantuan semata-mata,” katanya.

Sebelum mengakhiri sidang media, Wani menyatakan harapannya agar tuntutannya diperolehi seperti apa yang telah dijanjikan dan dapat membersihkan semula namanya di mata masyarakat. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas