Berita

RM3.64 juta diperuntukkan KKDW, laksana pelbagai pembangunan infrastruktur di Labuan.

- Diterbit 24 Mac 2024 2:36 AM MYT

SEBANYAK RM3.64 juta telah diperuntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi pelbagai projek pembangunan infrastruktur, kemudahan awam dan perumahan khusus kepada rakyat di Labuan sepanjang tahun ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, antara projek yang dilaksanakan oleh pejabat KKDW Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan ialah 20 projek Jalan Perhubungan Desa (JPD) bernilai RM1 juta dan Program Ameniti Sosial bernilai RM500,000 untuk 10 projek.

“Dan ini azam saya sebagai orang yang sayangkan Labuan InsyaALLAH kita memperbanyakkan jalan-jalan ini di Labuan begitu juga program ameniti sosial dan program perumahan rakyat seperti yang kita lihat tadi kita akan tambah”, katanya semasa berucap pada Majlis Iftar Santunan Kasih Ramadan di sini, hari ini.

Beliau berkata kementeriannya melalui KEMAS memperuntukkan RM116,900 untuk pembangunan komuniti meliputi program Hari Kebesaran Islam, Kampung Mandiri, Jom Masuk Kampung, Kem Eksplorasi Belia, Kembara Merdeka, Sahabat Komuniti Desa, Sukarelawan Prihatin, Projek Rakan Kebun, Pakej Latihan Keusahawanan, serta Promosi dan Pemasaran.

“Sebanyak RM123,500 lagi diperuntukkan untuk pendidikan kemahiran meliputi program Sijil Kemahiran Malaysia-Penilaian Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT),Quick Win, Program Promosi Kemahiran, Kursus Kemahiran Jangka Pendek dan Perolehan Peralatan.

“Majlis Amanah Rakyat, MARA pula memperuntukkan RM1.37 juta untuk Pembiayaan Perniagaan dan RM65,000 lagi bagi Pembangunan Usahawan di Labuan,”katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan dari Yayasan Pelajaran Mara untuk program ‘Back to School’ kepada 70 pelajar sekolah rendah dan menengah sebanyak RM100 seorang dan untuk Pendidikan Tertiari bagi Program Matrikulasi
berjumlah RM12,000.

Turut disampaikan bantuan peralatan program `Quick Win’ Seni Tangan KEMAS berjumlah RM30,000 kepada 10 penerima. -WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas