Berita

RM22 juta dirampas dalam sembilan operasi pada minggu pertama 2024

- Diterbit 5 Januari 2024 9:00 PM MYT

BIRO Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) menahan 15 individu dan merampas pelbagai barangan bernilai RM21,917, 419 dalam sembilan serbuan yang dilakukan sejak Isnin lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali berkata operasi itu membabitkan penguatkuasaan terhadap penyeludupan hidupan liar, ubat-ubatan palsu serta penyelewengan diesel bersubsidi.

Beliau berkata tindakan dilakukan melibatkan kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dengan jumlah rampasan bernilai RM116,000, Akta Kawalan Bekalan 1961 (RM6,601,449) dan Seksyen 11 Akta Makanan 1983 (RM13.2 juta).

“Kesalahan lain yang dikesan ialah Enakmen Perhutanan Negara (pemakaian) dengan jumlah rampasan RM1.5 juta dan Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952 dengan rampasan bernilai RM500,000.

“WCB/PSK komited dan fokus dalam melaksanakan visi serta misi yang telah digariskan dan akan terus memacu langkah ke hadapan dengan melaksanakan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain demi mengekang dan memerangi jenayah seumpamanya,” menurut beliau dalam kenyataan hari ini.

Hazani juga berkata kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa amat digalakkan agar kegiatan jenayah dapat dibanteras sepenuhnya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas