Selebriti

RIZ AMIN setia, tidak layan godaan

|Riz Amin bahagia bersama isteri dan anak
- Diterbit 17 Jun 2020 4:09 AM MYT

KISAH suami orang digoda bukanlah isu baharu, malah sehingga ke hari ini kita sering ‘dihidangkan’ kisah sebegitu.

Begitulah juga pelakon bertubuh sasa Riz Amin tidak terlepas daripada digoda wanita lain walaupun sudah berkahwin.

“Kena kacau dengan perempuan tu biasalah, tetapi tidaklah sampai ke tahap serius. Saya tidak pandang isu itu sesuatu yang berat kerana semuanya bergantung kepada kita.

“Bila godaan datang, jangan layan lebih-lebih. Bukanlah tidak memberi respon langsung, tetapi layanan tu ada batasnya.

” Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Namun, pastikan kita bijak tanggani masalah dengan cara yang baik supaya tidak timbul masalah antara kedua belah pihak,” kata Riz Amin atau nama sebenarnya Norizam Amin Nordin, 35.

Riz Amin bahagia bersama isteri dan anak

Riz yang kini bahagia bersama isterinya, Syarifah Fazlina Syed Fuad dan anak mereka Putri Natalia Eryna yang berusia lima tahun. 

Menurut Riz, walaupun sibuk  berlakon dia sedaya upaya menjaga hubungan dengan isteri yang setia bersamanya ketika susah dan senang.

“Sebagai suami, saya selalu menjaga hati isteri dan anak dengan membahagikan Masa berkualiti bersama mereka. 

“Saya juga sering berkongsi cerita dan tidak menyembunyikan apa sahaja dengan isteri agar  salah faham tidak timbul,” katanya lagi yang akan menjalani penggambaran drama Hati Yang Tersakiti untuk siaran TV3.

Antara drama lakonan Riz Amin adalah Korban Kasih, Astana Idaman 3, Manjalara, Emil Emilda, Cindarella, Spa Q, Si Capik, Sutun Kembali Lagi, Hidayah Cintaku dan banyak lagi. 

Manakala antara  filem lakonannya pula adalah Tujuh, Hantu Kapcai, Tanda Putera dan 29 Februari. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas