Berita

Rembau antara lima kluster diisytiharkan tamat

- Diterbit 9 Mei 2020 3:32 PM MYT

PUTRAJAYA – Kluster Rembau yang menyebabkan 53 individu disahkan positif Covid-19 diisytiharkan tamat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat kluster lain dikesan menyebabkan penularan virus itu turut diisytiharkan tamat.

Kluster berkenaan ialah Seksyen 6 Bandar Baru Bangi, pusat warga emas, majlis perkahwinan Bandar Baru Bangi dan Pasar Borong Selayang.

“Kluster Rembau menyebabkan 53 individu disahkan positif Covid-19 namun tiada kematian direkodkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Dr Noor Hisham mengesahkan wujudnya kluster Rembau membabitkan kakitangan sebuah sekolah dan kemudian menular di beberapa lokaliti dalam daerah berkenaan, iaitu Pedas, Pilin, Kundur dan Batu Hampar.

Kluster ini mula dikesan apabila keputusan ujian Covid-19adalah positif bagi beberapa guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Pedas dan penularan ini dipercayai berpunca daripada satu mesyuarat yang diadakan di sekolah berkenaan.

Siasatan mendapati jangkitan berpunca dari perhimpunan jemaah tabligh di Seri Petaling, Februari lalu.

Hari ini, 54 kes positif Covid-19 baharu dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 6,589 kes manakala kes pulih mencatatkan 4,929 kes. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas