Berita

Kumpulan terakhir 312 pelajar UMSKAL selamat tiba di KLIA

SALAH seorang pelajar UMSKAL diambil suhu badan sebelum memasuki ruang pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Labuan petang tadi. (9 Mei 2020)
- Diterbit 9 Mei 2020 3:00 PM MYT

LABUAN – Seramai 312 pelajar, kumpulan terakhir Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) selamat berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Mereka yang dibahagikan kepada dua kumpulan menaiki dua penerbangan sewa khas Malaysia Airlines pada pukul  3.20 petang dan 4.05 petang untuk pulang ke kampung halaman mereka di Semenanjung.

Terdahulu, sejumlah 65 pelajar dari tiga institusi pengajian tinggi di Sabah – Universiti Teknologi Mara (4 orang), Politeknik Kota Kinabalu (14), Politeknik Sandakan (4), Universiti Malaysia Sabah (34) dan baki sembilan lagi dari institusi pengajian swasta tiba di Labuan.

Pelajar terbabit yang kembali dari Sabah sudah menjalani prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan secara serta-merta termasuk saringan suhu badan, temu bual dan pendaftaran yang dikendalikan pegawai Jabatan Kesihatan.

DR FARY AKMAL

Pengerusi jawatankuasa itu, Dr Fary Akmal Osman berkata, masih terdapat sejumlah 2,076 pelajar Kolej Matrikulasi Labuan yang terkandas di kampus mereka sedang menunggu giliran untuk dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing di Sabah dan Sarawak.

“Lebih 1,000 pelajar matrikulasi dari Sabah akan dihantar pulang mulai esok dengan bas dan feri manakala bakinya iaitu lebih 700 orang dari Sarawak akan dihantar pulang dengan penerbangan MASwing.

“Kami sedang berusaha sedaya-upaya untuk membolehkan mereka berada bersama-sama keluarga masing-masing sebelum Aidilfitri,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Labuan (LTAL) hari ini.

Beliau berkata, jawatankuasa itu sedang berhubung dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengenai jumlah pelajar dari Labuan yang masih terkandas di kampus masing-masing di Semenanjung untuk dihantar pulang ke Labuan.

“Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa terdapat satu penerbangan untuk menghantar pulang pelajar dari Labuan tidak lama lagi namun kami belum menerima butirannya lagi,” katanya.

PELAJAR UMSKAL bergerak untuk dibawa ke LTAL.
SEORANG pelajar melambai tangan dari dalam bas untuk ke LTAL.

Dr Fary berkata, ketika ini masih terdapat lebih 200 pelajar dari Labuan di UMS Kota Kinabalu yang turut menanti untuk dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing.

Beliau mengingatkan pelajar dari Labuan yang masih terkandas di kampus masing-masing di luar Labuan meskipun dibenarkan pulang sendiri, mereka perlu melalui jawatankuasa itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas