Berita

Kawalan ketat di PJ Old Town, saring warga asing

ANGGOTA tentera memasang kawat duri di sekitar di kawasan PJ Old Town, Petaling Jaya awal pagi tadi.
- Diterbit 9 Mei 2020 8:56 PM MYT

PETALING JAYA – Kawasan sekitar Bandar Lama Petaling Jaya atau lebih dikenali sebagai Petaling Jaya Old Town dikenakan kawalan lebih ketat bermula awal pagi ini susulan peningkatan kes positif Covid-19.

Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada diletakkan di bawah Perintah Kawalan Diperketat (PKPD) atau diperketat secara pentadbiran kerana belum ada pengumuman rasmi.

Kawalan diperkasakan dilakukan secara mengejut bermula awal pagi ini ekoran jangkitan Covid-19 di Pasar Jalan Othman yang dilapor berpunca dari kluster Pasar Borong Selayang.

Difahamkan tindakan itu dilakukan bagi memastikan saringan kesihatan dapat dilakukan ke atas warga asing yang dikatakan tidak tampil berbuat demikian setelah berlaku jangkitan melibatkan peniaga dan pelanggan Pasar Jalan Othman.

Warga tempatan pula perlu mengemukakan kad pengenalan bagi melepasi sekatan jalan raya.

Tinjauan Wilayahku awal pagi ini mendapati pasukan keselamatan telah memasang pagar kawat berduri di PJ Old Town berhampiran pasar basah di Jalan Othman.

Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Briged 11 Kem Sungai Buloh dengan kekuatan kira-kira 200 pegawai dan anggota memasang kawat berduri dengan keluasan kira-kira 4.4 km persegi dan dibahagikan kepada tiga kumpulan.

Kerja-kerja pemasangan kawat berduri itu dijangka siap sepenuhnya menjelang tengah hari ini.

Selain itu, difahamkan bahawa akan ada penutupan jalan dan sekatan jalan berlapis di sekitar kawasan itu.

Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membuat pemantauan bagi memastikan setiap laluan keluar masuk dikawal dengan ketat dan dibantu oleh Jabatan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) serta Pejabat Daerah Petaling.

Hadir sama Panglima 11 Briged, Brigadier Jeneral Norsham Md. Tap, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Polis Nik Ezanee Mohd Faisal, Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Sayuthi Bakar dan Pegawai Daerah Petaling, Johary Anuar.

Dalam pada itu, seorang pemandu lori telah ditahan kerana memandu dalam keadaan melulu dan hampir melanggar anggota keselamatan yang sedang memasang pagar kawat berduri.

Pemandu tersebut kemudiannya dibawa ke Balai Polis Petaling Jaya untuk dibuat ujian saringan air kencing dan ujian saringan pernafasan sekiranya lelaki itu memandu dibawah pengaruh alkohol. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas