Berita

Rancang program mampan, tingkat ekonomi warga kota

ZAHIR (kiri) menyampaikan Bantuan Awal ke IPT kepada pelajar terpilih. Turut sama Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun (kanan).
- Diterbit 31 Januari 2023 5:15 AM MYT

BAGI membantu mengurangkan beban warga kota khususnya yang tinggal di Wangsa Maju, Ahli Parlimennya, Zahir Hassan bakal merangka program bersepadu untuk jangka masa yang lebih panjang.

ZAHIR

“Bantuan yang diberikan tidak tertumpu kepada kewangan secara ‘one-off’ semata-mata tetapi lebih kepada program menyeluruh yang memberi manfaat masa hadapan kepada penerima. 

“Kita dalam perbincangan untuk memberi latihan kepada anak muda mengikut bidang yang mereka minati agar selepas itu mereka mampu untuk hidup berdikari,” ujar beliau ketika sesi penyampaian Bantuan Awal ke IPT Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), peringkat Parlimen Wangsa Maju, baru-baru ini. 

Mengulas lanjut tentang kesempitan hidup warga kota, Zahir berkata menerusi kajian UNICEF pada 2018, mereka kebanyakannya terpaksa melakukan lebih daripada dua pekerjaan dalam sehari. 

“Ia dilakukan untuk survive memandangkan pendapatan mereka tidak mencukupi bagi menampung kos perbelanjaan yang agak tinggi di ibu kota,” kata beliau.

Tambah beliau lagi, mereka yang tinggal di kampung mungkin lebih beruntung kerana boleh bercucuk tanam selain menjaga haiwan ternakan berbanding warga kota yang tinggal di flat yang tidak memiliki tanah untuk melakukan pekerjaan tersebut. 

Terdahulu, dalam masa yang sama, Zahir turut memuji inisiatif YWP membantu pelajar yang ingin menyambung pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) melalui bantuan kewangan secara one-off. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas