Berita

“Dia bakar satu (naskhah) Quran, kita cetak dan edar 1 juta,” – Anwar

ANWAR (tiga dari kiri) menerima satu naskah Al Quran daripada Abdul Latiff sebagai simbolik perasmian Restu Global Quranic Festival di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya pada Sabtu.
- Diterbit 28 Januari 2023 10:23 AM MYT

MALAYSIA melalui Yayasan Restu akan mencetak dan mengedarkan satu juta naskah Al Quran sebagai tindak balas terhadap seorang ahli parlimen Sweden, Rasmus Paludan yang membakar satu naskah Al Quran baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu merupakan jawapan terbaik bagi menghadapi kegilaan sikap Islamophobia yang melampau.

“Kita bantah keras kegilaan manusia berhati haiwan yang sanggup bakar kitab suci Al Quran.

“Saya jawab dengan menyatakan Dia bakar satu Quran, Insha Allah Malaysia melalui Yayasan Restu akan berusaha dalam masa dan melalui peringkat peringkat akan mencetak dan mengedarkan 1 juta Al quran,” katanya ketika berucap selepas melawat program Restu Global Quranic Festival di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Na’im Mokhtar, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Seri Dr Abdul Latiff Mirasa.

Sementara itu, ketika ditemui media, Perdana Menteri menjelaskan bahawa pihaknya telahpun memanggil Duta Sweden bagi menyuarakan bantah kerajaan dan rakyat negara ini terhadap tindakan Ahli Parlimen negara itu.

“Kita telah memanggil duta Sweden untuk membantah daripada pihak kerajaan dan kenyataan saya dalam 10 Hari lalu sudah keras menentang (tindakan itu) dan kita juga telah lihat unjuk rasa oleh masyarakat Islam dan protes telah dihantar.

Menurut Anwar, sebagai iktibar terhadap insiden tersebut, Yayasan Restu yang diketuai Abdul Latiff bersetuju supaya Cara paling berfaedah menjawab semua kerja gila dan biadab ini adalah untuk meneruskan usaha yang telah dimulakan dengan mencetak kitab suci dan mengedarkannya.

“Kita bertekad dalam masa singkat dan berperingkat untuk mencetak dan mengedar satu juta Al-Quran keseluruh dunia.

“IA juga disusuli dengan beberapa program ke arah penghayatan dan pemahaman Al Quran dengan mesej dan risalah yang jela,” katanya.

Pada majlis tersebut, Perdana Menteri turut menyerahkan sumbangan bernilai RM 2 juta bagi meneruskan usaha mencetak dan mengedar kitab suci itu di seluruh dunia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas