Quartararo rangkul kemenangan ketiga MotoGP 2020

Quartararo rangkul kemenangan ketiga MotoGP 2020

PELUMBA pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing, Fabio Quartararo, mengorak langkah besar ke arah merangkul gelaran sulungnya dalam kejuaraan Moto Grand Prix (MotoGP) selepas menang perlumbaan ketiganya musim ini di perlumbaan GP Catalunya di litar Catalunya-Barcelona, Sepanyol, hari ini.

Pelumba Perancis berumur 21 tahun itu yang bermula di petak hadapan, menampilkan persembahan cemerlang dengan mengekori rakan sepasukannya, Franco Morbidelli sehingga pusingan kelapan, sebelum memintas dan memenangi perlumbaan ketiganya musim ini dengan catatan masa 40 minit 33.176 saat.

Dua pelumba Sepanyol – Joan Mir dan Alex Rins dari pasukan Team Suzuki Ecstar, masing-masing di tempat kedua dan ketiga selepas ketinggalan 0.928 saat dan 1.898 saat di belakang, sekali gus menamatkan pelumbaan 24 pusingan itu di podium buat pertama kali untuk pasukan mereka, sejak GP San Marino di litar Misano World pada 2007.

Morbidelli yang memulakan perlumbaan di petak pertama, terpaksa berpuas hati di tempat keempat (40 minit 36.022 saat) selepas dipintas di pusingan terakhir oleh kedua-dua pelumba Sepanyol itu.

Kejayaan hari ini membolehkan Quartararo kembali mendahului Kejuaraan MotoGP Dunia dengan kelebihan 108 mata, manakala pelumba Itali Andrea Dovizioso dari pasukan Team Ducati MotoGP yang terjatuh pada pusingan pertama, turun ke kedudukan keempat dengan 84 mata selepas lapan perlumbaan.

Sebelum ini Quartararo meraih kemenangan dalam dua perlumbaan di GP Sepanyol dan GP Andalusia di Litar Jerez.

Dalam kategori Moto2, pelumba Petronas Sprinta Racing dari Sepanyol Xavi Vierge, terbabit dalam kemalangan selepas terjatuh di selekoh kesembilan ketika perlumbaan berbaki 15 pusingan, manakala rakan sepasukannya Jake Dixon gagal menamatkan perlumbaan selepas motosikalnya mengalami masalah teknikal.

Dua pelumba Malaysia – Hafizh Syahrin Abdullah dari pasukan Inde Aspar Team Moto2 dan Kasma Daniel Kasmayudin dari pasukan OneXOX TKRR SAG Team, masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat ke-18 dan 20.

Sementara itu pelumba Petronas Sprinta Racing Moto3, Khairul Idham Pawi gagal cemerlang selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-24, manakala rakan sepasukan John McPhee terlibat dalam kemalangan dengan pelumba Sepanyol Albert Arenas dari pasukan Gaviota Aspar Team Moto3 di selekoh keempat pada awal perlumbaan.

Kejuaraan MotoGP Dunia akan diteruskan dengan GP Perancis di litar Le Mans pada 9-11 Okt. – BERNAMA

CATEGORIES