Berita

Qasidah mahu pamer aksi mantap

KETANGKASAN Qasidah menguasai gelanggang dan menghalang pemain lawan mara.
- Diterbit 15 November 2019 5:35 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

KETANGKASAN Qasidah Najwa Muhd. Halimi, 21, dalam sukan hoki mula dikenal pasti ketika berada di alam persekolahan lagi. Seiring dengan minat yang mendalam dalam sukan tersebut akhirnya dia berjaya meletakkan diri dalam pasukan hoki kebangsaan, Malaysian Tigress.

Sungguhpun masih muda, pemain yang berada di posisi penyerang ini sentiasa bersemangat untuk terus merebut peluang bergelar pemain hoki peringkat dunia yang disegani suatu masa nanti.

Menyimpan cita-cita untuk beraksi dalam Sukan Olimpik, atlet yang ber­asal dari Cheras, Kuala Lumpur ini sentiasa optimis dalam mengejar cita-cita tersebut. Teguh berpegang kepada prinsip, tidak mudah menyerah kalah, ternyata kini bintangnya kian menyi­nar.

Terbaharu, dia merupakan salah seorang penyumbang gol pada Kejohanan Piala Tunku Zara 2019 yang berlangsung di Dewan Jubli Merdeka, Kuala Kangsar, Perak.

Menyifatkan ia adalah suatu pengalaman yang manis, kini dia dalam sesi pemilihan ke Sukan SEA 2019.

“Ini adalah peluang yang paling saya harapkan. Jika terpilih untuk beraksi pada temasya tersebut, sudah semestinya saya ingin membantu pasukan hoki dewan wanita mendapatkan pingat emas.

“Sejujurnya saya juga ingin berusaha sebaik mungkin untuk mengubati kekecewaan dua tahun lalu yang mana ketika itu pasukan Malaysia tewas kepada Thailand. Insya-Allah kali ini kami akan mempersembahkan permainan yang lebih mantap dan bermutu,” ujar­nya.

Giat menjalani latihan intensif setiap Isnin hingga Jumaat di Stadium Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru, Kuala Lumpur, pemain terbaik Liga Hoki Remaja 2017 ini pernah berdepan dengan kecederaan lutut (meniscus dan hamstring) pada tahun 2017.

QASIDAH (berdiri, tiga dari kanan) bersama pasukan Malaysian Tigress.

Mengakui ia adalah perkara biasa yang sering dihadapi dalam kalangan atlet, namun dia akan memastikan dirinya sentiasa berfikiran positif dan terbuka dalam mendepani setiap cabaran yang mendatang.

“Mujurlah ketika itu kecederaan tidaklah terlalu serius. Namun bertitik-tolak dari itu, saya kini sentiasa mengutamakan kesihatan diri dari pelbagai segi termasuklah menjaga pemakanan agar sentiasa seimbang,” ujar Qasidah.

Tambahnya, untuk memastikan kejayaan menjadi miliknya, dia sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal kerana masyarakat sekeliling sentiasa menilai sejauh mana seseorang atlet teguh dalam menghadapi cabaran.

Atlet berilmu

Biarpun mempunyai masa hadapan yang cerah dalam bidang sukan, ia bukanlah alasan buat dirinya melupakan pelajaran.

Kini, atlet kebangsaan ini melanjutkan pelajaran dalam bidang Hortikultur Landskap di Politeknik Nilai, Negeri Sembilan.

Bijak membahagikan masa antara kedua-duanya, menurut anak ketiga daripada lima orang adik-beradik ini, soko­ngan dari kaum keluarga dan rakan-rakan juga merupakan faktor penting buatnya untuk berjaya.

“Mereka banyak memberi nasihat kepada saya untuk terus kuat menjalani cabaran. Selain itu, saya sendiri ingin menjadi seorang atlet yang bukan sahaja berjaya dalam bidang sukan malah memiliki tahap pendidikan yang tinggi.

“Mungkin suatu hari nanti jika tidak lagi berada dalam dunia sukan, saya juga perlu memiliki satu kemahiran untuk meneruskan kehidupan dalam bidang kerjaya yang bersesuaian,” katanya.

Sempat menitipkan pesanan buat remaja yang bercita-cita untuk menceburi sukan hoki katanya; “Untuk berjaya, jangan cepat berputus asa apabila berdepan kegagalan kerana tanpa gagal tiadalah kejayaan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas