Berita

Imam, bilal berentap di Kejohanan Golf Putrajaya

Poster kejohanan Golg Surau-surau Jumaat Putrajaya.
- Diterbit 15 November 2019 5:38 AM MYT

PUTRAJAYA – Kejohanan Golf Surau-surau Jumaat Putra­jaya akan diadakan pada 21 November ini di Amverton Cove Golf Resorts, Pulau Carey, Kuala Langat, Selangor.

Kejohanan kali ketiga ini bakal disertai 80 ahli jawatankuasa surau yang terdiri daripada imam dan bilal.

Acara dianjurkan Surau Ar Rahim, Presint 15, Putrajaya itu bertujuan menggalakkan komuniti surau agar turut serta dalam aktiviti sukan bagi menggalakkan gaya hidup sihat.

GHAZALI

Menurut Pengerusi Pe­nganjur Kejohanan Golf, Datuk Ghazali Hassan, rata-rata peserta merupakan pemain golf yang telah menjalani latihan anjurannya sejak tiga tahun lalu.

“Bermula daripada latihan akhirnya, kita berjaya anjurkan perlawanan golf pada setiap tahun.

“Secara tidak langsung penganjuran tersebut dapat mencungkil pemain berbakat yang boleh diketengahkan untuk mewakili Putrajaya pada mana-mana kejohanan.

“Pada masa akan datang, kita juga bakal berkolaborasi dengan kelab-kelab golf di luar Putrajaya dalam usaha untuk membuka peluang kepada lebih ramai lagi golongan komuniti surau dan masjid di Malaysia,” ujarnya kepada Wilayahku.

Pada masa sama, acara tahunan tersebut juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk setempat dan ahli surau yang mana golongan ini sa­ling berkait rapat antara satu sama lain.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas