Berita

PRU ke-15 : Hari mengundi 19 Nov, penamaan calon 5 Nov

- Diterbit 20 Oktober 2022 5:23 AM MYT

TARIKH pengundian pilihan raya umum ke-15 (PRU15) telah ditetapkan pada 19 November ini.

Manakala hari penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November dengan tempoh berkempen 14 hari.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh mengumumkan perkara itu pada sidang media di ibu pejabat SPR itu di Putrajaya sebentar tadi.

PRU15 diadakan selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membubarkan parlimen pada 10 Oktober.

Bagaimanapun hanya tiga negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) Perak, Perlis dan Pahang mengambil langkah Kerajaan Persekutuan yang turut mengadakan pilihan raya di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Turut diadakan serentak adalah pilihan raya kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah, yang ditangguhkan susulan proklamasi darurat bagi mencegah penularan Covid-19 sebelum ini.

Negeri-negeri Pakatan Harapan (PH), Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Penang serta tiga buah negeri, Kedah, Kelantan dan Terengganu di bawah pentadbiran PAS tidak akan mengikuti langkah itu.

Selain itu, bagi negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor telah mengadakan pilihan raya negeri lebih awal dan tempoh matang bagi penggal tersebut masih panjang lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas