Berita

Kerajaan perkasa penjaja, peniaga kecil

ISMAIL Sabri (empat kanan) melihat produk jualan oleh salah seorang usahawan di gerainya pada Pesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil Keluarga Malaysia 2022.
- Diterbit 20 Oktober 2022 8:40 AM MYT

PESTA Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil Keluarga Malaysia 2022 yang menghimpunkan lebih 506 usahawan dari seluruh negara disambut meriah dengan kehadiran ribuan warga kota sepanjang tempoh penganjurannya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan perasmiannya menyifatkan pesta ini adalah sebuah program yang mengiktiraf bidang keusahawanan sebagai satu peluang pekerjaan kepada para usahawan kecil untuk menjalankan perniagaan bagi menambah pendapatan.

Menurutnya, antara program yang telah dilaksanakan kerajaan bagi membantu peniaga dan penjaja kecil adalah menerusi Program Usahawan Anak Muda Kota (UAMK) yang merupakan sebuah medium yang melahirkan ramai usahawan untuk berniaga di lokasi tumpuan dan strategik di ibu kota.

“Sehingga kini, sebanyak 1,252 ruang niaga atau kios telah disediakan di bawah program itu dengan ruangan reka bentuk yang lebih moden, kemas, teratur dan bersih.

“Kedua, pengurangan sehingga 50 peratus sewaan premis, pengecualian sewaan tapak kepada penjaja dan peniaga kecil serta pengecualian fi lesen penjaja dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan bagi mengurangkan beban akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Selain itu, program pembiayaan mikro tanpa faedah berjumlah RM50,000 turut ditawarkan kepada penjaja dan peniaga kecil yang melaksanakan perniagaan secara dalam talian.

“Keempat, Program Pendigitilan Penjaja dan Peniaga Kecil melalui ‘Warongku’ turut diwujudkan bagi membantu kumpulan sasar untuk mendigitalkan perniagaan mereka selaras dengan perubahan perniagaan semasa pasca pandemik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga turut menyerahkan Kad Prihatin Penjaja dan Peniaga Malaysia (IN2NIAGA) kepada tujuh wakil Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur melalui platform IN2NIAGA.

“Inisiatif IN2NIAGA merupakan kerjasama antara persatuan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan AEON bagi memastikan pengusaha serta pekerja dilindungi oleh insurans mampu milik melalui Perkeso dan menikmati kelebihan lain melalui kolaborasi strategik IN2NIAGA.

“Justeru, saya mencadangkan supaya penjaja, peniaga dan usahawan kecil turut serta memiliki Kad IN2NIAGA bagi membolehkan peniaga serta pembantu mereka menikmati kelebihan yang ditawarkan oleh platform tersebut.

“Melalui platform ini juga, penjaja dan peniaga kecil akan dibekalkan kod QR yang mana kod ini disatukan dengan mod pembayaran tanpa tunai melalui pelbagai sumber e-dompet dan transaksi pemindahan wang secara dalam talian (FPX) serta ia membolehkan pelanggan untuk membuat pembayaran lebih mudah dengan mengimbas kod QR menggunakan telefon bimbit,” jelasnya.

Pada majlis itu, beliau telah mengumumkan dan bersetuju menjadi penaung Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia dan mengatakan beliau akan kerap berjumpa dengan semua persatuan penjaja seluruh negara dan memberi bantuan sewajarnya kepada mereka.

Terdahulu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah merasmikan program tersebut pada Khamis (20 Oktober) bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar serta beberapa tetamu kehormat lain.

Pesta Mega yang berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam bukan sahaja dimeriahkan dengan gerai jualan dan food truck daripada penjaja dari seluruh negara malah pengunjung juga berpeluang berhibur bersama barisan artis terkenal seperti Floor88, Haqiem Rusli, Shiha Zikir dan ramai lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas