Berita

Program Jualan Termurah Khidmat Demi Rakyat dijangka diperluas seluruh Parlimen – Fahmi

- Diterbit 6 Januari 2024 11:05 AM MYT

PROGRAM Jualan Termurah, Khidmat Demi Rakyat, yang menawarkan harga barangan basah dan kering pada harga lebih murah berbanding harga pasaran, dijangka akan diperluaskan bagi memenuhi permintaan, sekali gus membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata program itu, boleh diadakan secara strategik iaitu pada waktu tertentu seperti di tengah bulan atau sewaktu menunggu hari gaji.

“Sebenarnya program ini telah diusahakan oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal sejak beberapa tahun lalu di kawasannya, saya tertarik dengan konsepnya yang menawarkan barang keperluan harian dan barang segar pada harga 30 hingga 50 peratus lebih rendah, untuk bantu kurangkan kos sara hidup rakyat terutamanya B40.

“Jadi apa kita adakan hari ini ialah untuk percubaan dan pembuktian konsep, yang saya akan panjangkan dan cadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagaimana untuk kita laksanakan di kawasan Parlimen lain terutamanya dalam mengawal kos harga barang dan membantu kurangkan kos sara hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Program Jualan Termurah, Berkhidmat Untuk Rakyat di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi hari ini, anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Fahmi yang juga merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata program itu juga boleh menjadi nilai tambah kepada Program Jualan Rahmah (PJR), anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Kita bukan untuk bertanding dengan pasar raya, tetapi ia lebih kepada untuk membantu secara berkala. PJR juga telah beberapa kali kita adakan di Lembah Pantai ini tetapi ia ada pengiliran, jadi untuk menampung keperluan dan permintaan, program ini amat membantu.

“Melalui program seperti ini juga, kita boleh lihat kos rantaian bekalan juga dapat dikawal bagi memastikan manfaatnya terus dinikmati rakyat… macam hari ini ikan-ikan segar semua kita ambil terus dari kapal,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata dalam memaksimumkan kehadiran dan komuniti yang mendapat manfaat daripada program ini, pemilihan lokasi sangat penting.

“Macam kawasan ini kita ada beberapa PPR, flat kos rendah dan kuarters kerajaan, jadi dia memang kawasan tumpuan dan lokasi yang strategik untuk diadakan program seperti ini, agar lebih ramai yang akan dapat manfaatnya,” katanya.

Sementara itu, Jemiah Othman, 64, berkata beliau teruja untuk mendapatkan barangan basah pada program hari ini, memandangkan ia merupakan pertama kali diadakan di kawasan perumahannya.

“Saya rasa memang bagus buat program macam di kawasan perumahan, sebab dapat memudahkan orang ramai terutamanya warga emas mendapatkan barang basah yang murah… tidak perlu pergi jauh-jauh.

“Harga yang ditawarkan pun lebih murah, udang, sotong dan ikan siakap memang dijual pada harga yang murah dari kedai biasa, saya beli barangan yang harganya memang murah,” katanya.

Program sehari bermula 8 pagi hingga 11 pagi itu, menawarkan barangan basah seperti ikan, ayam, sotong, udang dan barangan kering termasuk beras dan gula. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas